fbpx

PCG rekod untung RM703 juta suku pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keuntungan Selepas Cukai PCG meningkat lebih empat kali ganda berbanding suku keempat 2023. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM703 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (Q1 2024), berikutan peningkatan jumlah jualan dan margin produk.

Ia merupakan peningkatan lebih daripada empat kali ganda daripada RM142 juta yang dicatatkan pada suku keempat tahun lalu (Q4 2023), selaras dengan Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasi.

Pendapatan meningkat sebanyak empat peratus kepada RM7.5 bilion (Q4 2023: RM7.2 bilion) dengan sokongan daripada mata wang AS$ yang lebih kukuh berbanding ringgit dan jumlah lebih tinggi daripada Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

EBITDA melonjak 77 peratus kepada RM1.2 bilion (Q4 2023: RM655 juta) disebabkan kos bahan api, tenaga, utiliti dan penyelenggaraan yang lebih rendah, penyebaran produk yang lebih tinggi, sumbangan lebih tinggi daripada Kumpulan Perstorp, serta kesan pertukaran asing yang positif.

Kadar penggunaan loji pula dicatatkan pada 87 peratus (Q4 2023: 84 peratus), menyumbang kepada peningkatan marginal dalam jumlah pengeluaran.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, pihaknya teruja dengan perkembangan dari suku lepas setelah menstabilkan kadar penggunaan loji dan jumlah pengeluaran.

Jelasnya, kepelbagaian portfolio produk menjadi penyumbang utama melalui peningkatan dalam segmen Olefin & Derivatif (O&D) yang membantu mengatasi penurunan purata harga produk dalam segmen Baja & Metanol (F&M).

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail.

“Segmen kimia khusus turut meningkat dengan pesat berikutan jumlah jualan dan margin produk yang lebih tinggi.

“Kami akan memberi tumpuan segera dalam memastikan kapasiti pengeluaran kami untuk semua segmen beroperasi pada kadar optimum dan berjalan lancar.

“Lima daripada loji kami dalam segmen O&D dan F&M dijadualkan menjalani penyelenggaraan berkanun pada tahun ini dan pada Q1 2024, kami telah melengkapkan aktiviti pemulihan atau turnaround di PC Fertiliser Kedah di samping aktiviti penyelenggaraan di beberapa loji lain,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai prospek pasaran, beliau menambah, PCG menjangkakan pergerakan harga produk akan bercampur menjelang suku kedua dengan beberapa produk O&D seperti etilena dan aromatik menunjukkan peningkatan dalam had bekalan, manakala tiada perubahan dijangka bagi yang lain.

“Permintaan urea telah menyederhana disebabkan penangguhan musim penanaman serantau lantaran cuaca panas, manakala metanol kekal rendah berikutan permintaan hiliran yang berkurangan.

“Di samping itu, kami menjangkakan prospek berbeza bagi segmen kimia khusus selaras dengan sektor pembinaan yang terus bergelut dengan pertumbuhan infrastruktur yang perlahan dan kadar faedah yang tinggi, namun produk yang menjurus ke arah sektor automotif mungkin akan melihat permintaan lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI