PETALING JAYA – Petronas mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara terjamin sehingga akhir Jun 2026, lanjutan daripada unjuran awal pada akhir Mei sebelum ini.
Menurut Petronas dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya terus aktif menguruskan rantaian bekalannya untuk memastikan stok yang mencukupi di seluruh rangkaian stesennya di tengah-tengah krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
“Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarai awamnya, Petronas Dagangan Berhad, manakala bakinya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
“Petronas mengesahkan semula komitmennya dalam memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, orang ramai digalakkan untuk membeli bahan api secara bertanggungjawab mengikut keperluan harian dan mengelakkan sebarang penimbunan atau pembelian panik.
“Penggunaan yang bertanggungjawab akan membantu memastikan akses yang berterusan untuk semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE














