fbpx

SC akan tubuh ‘Social Exchange’ pertama di Malaysia – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menubuhkan ‘Social Exchange’ pertama di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempergiatkan dan meningkatkan ekosistem pelaburan di negara ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.

Menurut beliau, pendekatan tersebut malah akan memberi manfaat kepada entiti seperti badan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan Majlis Agama Islam Negeri.

Selain itu, katanya, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur melalui Dana Pemacu sehingga RM3 bilion dalam pelaburan patuh Syariah untuk menyokong pertumbuhan tinggi syarikat tempatan Malaysia dan juga memangkin ekosistem pelaburan teroka.

“Saya juga berbesar hati memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk kita di bawah kerajaan Malaysia melalui struktur wakalah ‘bil-khadamat’.

“Kita merancang untuk memuktamadkan sukuk ini menjelang 2025 sambil berusaha untuk menyelesaikan semua pengaturan dan penyediaan yang diperlukan,” katanya dalam ucaptama di Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) 2024 di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Anwar turut mengumumkan, kerajaan memperkenalkan program perintis Penghijauan Perniagaan Halal yang bertujuan membantu perniagaan halal di Malaysia untuk beralih kepada amalan yang lebih hijau dan mampan.

Kata beliau, ia akan dilaksanakan dengan menyediakan peralatan pembinaan kapasiti teknikal untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau serta pembiayaan transisi termasuk pensijilan.

“Saya mengulangi komitmen kerajaan Malaysia terhadap inovasi ini melalui perkongsian dan pengumuman komitmen RM100 juta untuk menyuburkan lebih banyak inovasi seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan Projek Hassan yang merupakan kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Pimpinan MIFC (MLC), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) serta Universiti INCEIF.

Jelas beliau, projek tersebut untuk meningkatkan inisiatif zakat bagi memartabatkan sosioekonomi golongan asnaf di Kedah.

Menurut beliau, melalui kerjasama berkenaan, sebanyak RM10 juta disasarkan bukan sahaja untuk memperkasakan komuniti asnaf, malah meningkatkan faedah langsung hasil tuaian untuk pesawah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI