fbpx

Seludup komponen, pasang sebelum jual kenderaan mikromobiliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nadzri (kiri) memeriksa sebahagian 147 kenderaan mikromobiliti disyaki seludup yang dirampas dalam serbuan di Kuala Terengganu pada Khamis lalu.

KUALA TERENGGANU – Tindakan dua pengusaha kedai permainan dan rekreasi di bandar raya ini dan Kuala Nerus menjual kenderaan mikromobiliti disyaki seludup membawa padah apabila premis mereka diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Khamis lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu pihaknya merampas 147 buah kenderaan mikromobiliti pelbagai jenis bernilai RM708,082 termasuk cukai.

“Dalam serbuan pertama, kita menyita sebanyak 130 buah kenderaan mikromobiliti, manakala 17 unit pula dirampas di premis kedua.

“Kenderaan berupa moped bike, basikal kuasa elektrik dan peralatan mobiliti persendirian (PMD) berkuasa elektrik itu disyaki dibawa masuk menggunakan dokumen import palsu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JDKM Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Nadzri berkata, kenderaan mikromobiliti itu dikategorikan sebagai barang larangan import di bawah Item No. 7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipasarkan sindiket yang berpengkalan di Pantai Barat.

“Sindiket itu melakukan pengikraran palsu sewaktu membawa masuk kenderaan mikromobiliti dengan cara komponen tercerai dari luar negara,” katanya.

Komponen itu akan dipasang dalam gudang sebelum dipasarkan ke kedai-kedai permainan dan rekreasi seluruh negara.

Dua pengusaha kedai permainan dan rekreasi berusia 37 dan 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI