fbpx

Malaysia catat sejarah ke Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara berjaya mengikat Iran kelmarin membolehkan mereka meraih slot ke saingan Piala Dunia di Croatia tahun depan. - FB MHC

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Februari tahun depan.

Kejayaan itu dilakar pasukan negara selepas mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok dua teratas saingan klasifikasi tempat pertama hingga keempat pada saingan Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Rodzhanizam Mat Radzi memuji kejayaan yang dilakar anak-anak buahnya itu selepas berjaya mencatat keputusan seri 3-3 menentang Iran malam kelmarin.

“Melangkah ke Piala Dunia untuk kali pertama merupakan detik yang paling ditunggu dan ini yang diperjuangkan oleh pasukan selama ini. Pasukan berharap kami mendapat perhatian dan peruntukan yang secukupnya bagi mempersiapkan diri.

“Terima kasih kepada penyokong dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong pasukan hoki dalam dewan Malaysia dan terus mempercayai kami. Saya harap kami dapat berikan tentangan yang hebat di Piala Dunia 2025 nanti,” katanya.

Setakat ini, selain Croatia selaku tuan rumah, enam pasukan dari benua Eropah dan Pan Amerika sudah melayakkan diri ke Piala Dunia yang dianjurkan empat tahun sekali bermula 2003.

Enam negara tersebut adalah Austria, Jerman, Poland dan Belgium (Eropah), manakala dua pasukan lagi ialah Argentina dan Trinidad and Tobago.

Mengulas aksi bertemu Iran, Rodzhanizam gembira dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya apabila berjaya melakukan kebangkitan bagi mengikat Iran 3-3.

“Setiap pemain memberikan sehabis baik pada perlawanan itu dan kebangkitan yang ditunjukkan mereka wajar diberikan pujian,” katanya yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI