fbpx
MOHD. ADNAN bersama kenderaan limosin Proton daripada model Wira.

Kereta ‘Roti John’ tidak mudah untuk dimiliki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMILIK kereta panjang yang berukuran antara lima hingga enam meter yang dipanggil kereta limosin sering dilabel sebagai golongan berada atau T20.

Sedangkan limosin yang digunakan sekumpulan individu ini ialah produk Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dengan jenama Proton Limousine yang dihasilkan sebelum milenium iaitu sekitar tahun 1990-an.

Proton Limousine terdapat dalam model Saga, Iswara, Wira dan Perdana pada harga asal antara RM68,000 hingga 165,000. Kenderaan itu boleh didapati pada kepanjangan antara 4.8 meter hingga 6 meter.

Oleh kerana berbentuk panjang berbanding kereta sedan biasa, kenderaan ini betah digelar ‘Roti John’ oleh pengguna jalan raya lain. Roti John ialah satu juadah roti panjang terkenal di Malaysia.

Ketika diperkenalkan dahulu, kenderaan ini tidak dimiliki ramai orang dan kebanyakannya milik syarikat servis pengangkutan limosin untuk kenamaan atau sebagai teksi.

Biarpun sudah ‘semakin usang’, di negara ini, terdapat sekumpulan orang yang memiliki minat mendalam untuk mendapatkan kenderaan ini sehingga membentuk komuniti.

Kereta-kereta lama itu kini dijual dengan harga yang tidak tentu, ada yang boleh didapati serendah RM15,000 dan ada jauh lebih tinggi sekiranya banyak pengubahsuaian atau pembaikian telah dilakukan.

Panorama berkesempatan menemui kumpulan ini pada Majlis Jamuan Aidilfitri Kelab Proton Limousine Malaysia di Kampung Tok Muda Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini. Terdapat kira-kira 20 buah limosin Proton dalam majlis tersebut.

Kongsi wakil kelab, Mohd. Hizri Aliff Sakrani, 38, yang memiliki Proton Limosin Iswara Eksekutif berukuran lebih lima meter, dia telah berjaya membelinya daripada seseorang individu walaupun mendapatkannya bukanlah suatu yang mudah.

Katanya, selepas lebih 30 tahun harganya tidaklah seperti dahulu, namun memang berbaloi dimiliki.

“Kebiasaannya, masalah yang wujud adalah jika pemilik asal enggan menjualnya. Maka, rundingan yang terbaik perlu dilakukan untuk mendapatkannya kerana limosin boleh dianggap barang rare,” katanya.

Terangnya, kebanyakan pemilik asal membeli kereta tersebut daripada pihak syarikat atau perseorangan dalam keadaan ia perlu dibaiki dengan kos yang boleh menyamai harga asal kereta terbabit.

“Lazimnya, pemilik enggan menjual kerana sudah mengeluarkan banyak modal untuk membaikinya,” katanya.

Mohd. Hizri yang bekerja di sebuah kilang elektronik berkata, sebagai orang muda dia melihat minat memiliki kereta tersebut sebagai aktiviti yang sihat.

Terdapat sekumpulan orang yang memiliki minat mendalam untuk mendapatkan kenderaan limosin sehingga membentuk komuniti.

 

Katanya, walaupun organisasi itu baru ditubuhkan, ia kini mempunyai kira-kira 40 ahli yang terdiri pemilik limosin tempatan dan luar Selangor.

“Latar belakang ahli pelbagai, ada usahawan, pesara awam dan swasta. Komuniti kami asalnya aktif sertai pameran hinggalah timbul cadangan mewujudkan kelab,” katanya.

Menurutnya, dengan penubuhan kumpulan itu, ahli-ahli boleh bertukar kepakaran dan pengalaman menyelenggara limosin.

Sementara itu, Mohd. Saadon Muah yang menjadi tuan rumah program tersebut berkata, dia sanggup ke Kuching, Sarawak untuk urusan pembelian limosin Saga yang mempunyai panjang 6 meter.

Ceritanya lagi, kos penghantaran hampir RM2,000 ke Semenanjung Malaysia bukanlah satu halangan demi minat yang mendalam.

“Saya sebelum ini pernah memiliki limosin Proton berukuran 5 meter dan telah menjualnya kepada rakan dengan harga berpatutan.

“Demi minat, saya sanggup terbang ke bumi Kenyalang untuk urusan pembelian kereta panjang 6 meter ini,” katanya.
Saadon berkata, penglibatannya dalam hobi itu bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk tetapi kerana minat dengan kereta sejak zaman muda.

Jelasnya, walaupun limosin tersebut secara fizikalnya sudah cukup gah, apa yang lebih penting adalah kepuasan secara peribadi.

“Apabila kita memandu limosin ini, kepuasan diri memiliki kenderaan unik di atas jalan menjadikannya pengalaman yang menyeronokkan.

“Limosin seperti kereta lain, cuma panjang sedikit dan ini menyuntik kelainan semasa berada di jalan raya mahupun lebuh raya,”ujarnya.

Bagi Ramlan Masrun, 70, dari Kapar pula, minat terhadap limosin Proton menyebabkan dirinya sanggup pergi ke mana sahaja destinasi di dalam negara untuk mendapatkannya.

Kata Ramlan, dia sanggup memujuk berulang kali pemilik kenderaan untuk menjual kereta mereka.

“Pengalaman berulang alik dari sini ke Bagan Datuk, Perak untuk memujuk pemilik limosin Proton untuk menjual kereta miliknya adalah usaha yang berbaloi.

“Tawaran demi tawaran yang diberi akhirnya saya berjaya juga membelinya setelah tiga kali berusaha,” katanya.

Ramlan memberitahu, sebelum ini dia pernah memiliki enam buah limosin Proton, namun telah dijual kepada rakan-rakan dan kini hanya memiliki sebuah limosin Proton.

Nasihat Ramlan kepada peminat kereta tersebut, penyenggaraan secara berkala adalah penting bagi mengelak ia terjejas atas faktor masa.

“Kereta limosin Proton berusia lebih 30 tahun, sudah pasti ia memerlukan perhatian khusus dari semua aspek. Kebanyakan limosin masalahnya adalah bahagian badan khususnya bumbung dan ia perlu disenggara dari semasa ke semasa,” katanya.

Kongsinya, pengalaman menarik sepanjang memiliki limosin Proton ialah jika limosinnya berhenti di kawasan Rehat & Rawat (R&R) di lebuh raya orang ramai akan lebih berminat melihat dan meninjau dalaman kereta miliknya berbanding kereta mewah lain yang turut diparkir di kawasan itu.

Momen tersebut jelasnya, memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana menjadi perhatian orang ramai.

“Itulah kepuasan memiliki kereta unik sebegini. Kereta mewah baharu yang lebih mahal tidak mendapat perhatian sepertinya.

“Kebanyakan peminat kereta limosin merasakan kepuasan memiliki kerana keunikan ukuran kereta kami, bukannya kerana harga ratusan ribu,”ujarnya.

Bagi pesara jurutera sebuah kilang, Surani Burham, 60, dia sanggup berhabis untuk memastikan kereta miliknya miliki sistem audio terbaik.

Walaupun memiliki beberapa kereta, limosin Proton tersebut amat disayanginya.

“Pada saya sistem bunyi boleh ditambah baik dengan kos sederhana tetapi memberi impak yang tinggi.

“Minat menaik taraf sistem bunyi dan badan kereta ini bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 empat tahun lalu dan inilah hasilnya,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN