Keadaan kereta Toyota Yaris dipandu Siti A’isyah (gambar kecil) selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Sungai Petani malam kelmarin.

Siti A’isyah sepatutnya nikah hujung tahun ini – Kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang ahli farmasi maut tersepit selepas kereta jenis Toyota Yaris yang dinaiki bersama rakannya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sidam, di sini kelmarin.

Nahas pada pukul 8 malam itu mengorbankan Siti A’isyah Idris, 23. Kemalangan turut menyebabkan rakannya berusia 23 tahun parah pada kaki dan badan. Mereka yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, lori itu dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal sebelum terbabas ke la­luan bertentangan dan betembung dengan kereta mangsa.

“Kita menahan pemandu lori berusia 31 tahun. Ujian air ken­cing mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine, me­thamphetamine dan mop,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Shasha Rina, 39, memberitahu, adiknya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik bakal melangsungkan perkahwinan pa­da Disember ini selepas bertunang dengan anggota polis dari Perlis pada Oktober lalu.

“Hasrat arwah untuk berkahwin hujung tahun ini tidak kesampaian. Dia meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Jelasnya, arwah adiknya belum membuat sebarang persiapan perkahwinan. Kali terakhir mereka berhubung pada pukul 6 petang hari kejadian kerana mahu meminjam wang.

“Arwah beritahu dia akan bayar selepas mendapat duit Akaun Fleksibel. Saya minta nombor akaun, tetapi tidak dibalas sebelum dapat tahu dia terbabit kemalangan,” ujarnya.

Ceritanya, arwah seorang yang manja dan ceria, namun bertukar pendiam. Arwah juga murung selepas kematian bapa mereka dua tahun lalu, malah sering menyebut mahu ‘mengikut’ bapa kerana terlalu rindu.

Shasha turut berharap tindakan setimpal dikenakan terhadap pemandu lori kerana nahas itu berpuca daripada kecuaian lelaki tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN