fbpx

Sindiket pelaburan Forex tumpas, aset RM51.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara jam tangan yang dirampas susulan penangkapan 10 individu pada 13 sehingga 21 Mei lalu, di sekitar Lembah Klang.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket pelaburan yang berselindung di sebalik urusan penukaran mata wang asing, peladangan dan kripto terbongkar dengan penangkapan 10 individu serta rampasan bernilai RM51.2 juta pada 13 sehingga 21 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua suspek yang merupakan warga tempatan itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi operasi dijalankan Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara.

“Suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun. Antara ditahan merupakan seorang lelaki dipercayai dalang kepada kegiatan yang dijalankan sejak 2017 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, di sini, hari ini.

Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket sebelum ini berpangkalan di luar negara sebelum memindahkan operasinya di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

“Sindiket menjalankan pelbagai urusan antaranya berkaitan mata wang kripto selain turut melabur dalam bidang perladangan durian di Pahang melibatkan tanah seluas 100 ekar.

“Selain itu, sindiket turut terlibat dalam penjualan nombor pendaftaran eksklusif dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tambah Razarudin, sindiket turut dipercayai memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari luar negara menggunakan pengurup wang tidak berdaftar.

“Kaedah ini dipercayai digunakan untuk wang berkenaan selain turut melibatkan wang kripto menggunakan pengurup wang haram.

“Sindiket turut dikesan terlibat dalam urusan jual beli jam tangan berjenama mewah di kedai jam di Bukit Jalil,” katanya.

Menurutnya, turut dirampas melibatkan pelbagai peralatan termasuk barangan dan kenderaan mewah.

“Sitaan melibatkan 129 keping geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif bernilai RM18 juta, 75 jam tangan berjenama bernilai RM10 juta dan 18 kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai RM8 juta.

“Turut disita wang tunai RM503,000 motosikal berharga RM406,000, 10 beg tangan bernilai RM90,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM51.2 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak terjebak atau terpedaya dengan mana-mana aktiviti pelaburan yang mencurigakan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti mencurigakan selain memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat mengenai jenayah pengubahan wang haram.

“Sentiasa jadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat aktiviti penipuan pelaburan atau sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI