fbpx

Kor Ming anggap isu peruntukan Kuala Kubu Baharu selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming. Foto oleh AMIR KHALID KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sekali lagi menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan ingin ‘menutup buku’ berhubung isu peruntukan di Kuala Kubu Baharu yang didakwa mempunyai unsur rasuah.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, beliau tidak ingin lagi mengulas isu tersebut dan menegaskan ia dilakukan sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Saya tak nak ulangi (isu) ini lagi. Peruntukan yang saya umumkan adalah waktu biasa, dua minggu sebelum pencalonan. Waktu (itu) pun saya tak tahu siapa calon.

“(Program) Sentuhan Kasih di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) banyak kali saya tegaskan, ia dijalankan sepanjang masa.

“Semalam saya di Melaka, dan Melaka tak ada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau PRK tetapi program ini tetap sampai ke Melaka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kredit Madani di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti pengumuman peruntukan dana infrastruktur di Kuala Kubu Baharu oleh Kor Ming berjumlah RM5.21 juta pada 18 April lalu.

Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan melihat sama ada pengumuman itu mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Kor Ming bagaimanapun tidak memberi perincian sama ada beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

“Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi kerajaan. Ini kerajaan yang mendukung Rukun Negara iaitu kedaulatan undang-undang.

“Kita akan pastikan apa yang kita lakukan sentiasa mematuhi kehendak akta,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI