UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama dengan Usanita Sdn. Bhd. (Usanita) bagi memperkasa ekonomi dalam kalangan usahawan wanita dan pelajar di negara ini.
Bagi merealisasikan matlamat itu yang turut melibatkan Persatuan E-usahawan Wanita Malaysia (Ewa Malaysia), pihak universiti menerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi aktiviti-aktiviti dan program yang bakal dijalankan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) UKM, Profesor Datuk Ts. Dr. Norazah Mohd. Nordin meluahkan kegembiraan kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan Usanita.
“Saya berharap usahasama ini akan membangunkan kemahiran pelajar ke arah yang lebih berkualiti tinggi dan mempunyai minda keusahawanan kelas pertama seterusnya menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran mereka khususnya dalam bidang keusahawanan.
“Bila kita bekerjasama dengan Usanita ini, kita harap minat para pelajar dan usahawan wanita Ewa Malaysia akan terpupuk dan mereka akan lebih terdedah kepada peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu, UKM diwakili Dr. Norazah dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof. Dr. Aini Aman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkasa kebolehpasaran wanita dan pelajar dalam sektor keusahawan dengan melengkapkan mereka kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam industri.
Katanya, program kolaborasi antara Usanita, UKM dan Ewa Malaysia ini akan tertumpu pada pembangunan dari sudut kemahiran, kebolehan, kreativiti serta inovasi.
“Ia merupakan perkara yang terkandung dalam aspek modal insan di samping aspek daya saing yang dilihat penting dalam kejayaan usahawan,” katanya.
Tambahnya lagi, kolaboratif ini diharap dapat diperluaskan dan memanfaatkan lebih ramai orang terutamanya pelajar-pelajar UKM dan usahawan- usahawan yang menyertai Ewa Malaysia.
“Rakan- rakan strategik Usanita juga terdiri dalam kalangan selebriti seperti Awal Ashaari akan sentiasa bersama Usanita untuk memberi buah pandangan yang terkini untuk kebaikan bersama kedua pihak.
“Jadi kita harap program- program kita secara tidak langsung akan memberi dukungan kepada mereka dalam melonjakkan jualan, perniagaan, dan cetusan idea kreatif dan inovatif dalam industri keusahawanan,” ujarnya














