fbpx

Kes Ramasamy pamer gambar Agong dibicara semula di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramasamy ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu pada 6 Mei lalu. - Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kes seorang lelaki warga emas yang mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) dirujuk semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, memutuskan demikian selepas meneliti hujahan daripada pemohon, P. Ramasamy, 66, yang memfailkan semakan kehakiman bagi keputusan terhadapnya.

Tegas Wendy Ooi, pengakuan salah Ramasamy ditolak kerana disifatkan pengakuan bersyarat berikutan warga emas itu tidak faham pertuduhan, kesan dan akibat pengakuan salahnya.

“Perkara itu dapat dilihat menerusi mitigasi pemohon dalam prosiding tersebut yang menyebut ‘tidak mengetahui penggunaan gambar Seri Paduka sebagai satu kesalahan’.

“Disebabkan itu, kes diremit (dikembalikan semula) ke Mahkamah Majistret untuk dibicara,” katanya.

Pada prosiding itu, Ramasamy diwakili peguamnya, Pavitra Loganathan dan Harsimranpreet Kaur sementara pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd. Ali sebagai responden bagi permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Pavitra ketika ditemui selepas prosiding tersebut memaklumkan antara hujahan yang difailkan adalah berkaitan elemen niat dalam mitigasi anak guamnya pada Mahkamah Majistret sebelum ini tidak dipenuhi.

“Ini bermaksud Ramasamy tidak mengaku bersalah sepenuhnya kerana dalam mitigasinya dia mengatakan tidak berniat.

“Jadi, elemen niat itu tidak dipenuhi kerana dia kata tidak ada niat (menyalahgunakan gambar Yang di-Pertuan Agong),” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret KKB pada 6 Mei lalu dilapor menerima pengakuan salah Ramasamy yang menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti politik dalam kawasan pilihan raya.

Dia dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Kesalahan tersebut dilakukan lelaki lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu, dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.

Tindakan Ramasamy itu dikatakan sebagai cubaan mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada PH.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI