fbpx

Guna MPV putih rompak rumah Khuzaimi Piee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan polis yang tiba di rumah Khuzaimi susulan kejadian pecah masuk malam tadi.

SHAH ALAM – Kejadian pecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dilakukan dua lelaki yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV), malam tadi.

Kejadian tersebut disedari mangsa berusia 31 tahun kira-kira pukul 9 malam selepas mendapati pintu pagar rumahnya depan dan belakang telah terbuka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pecah rumah tersebut kira-kira pukul 11.30 malam daripada mangsa.

Katanya, semasa kejadian mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah.

“Siasatan mendapati terdapat dua suspek lelaki terlibat dengan menaiki kenderaan jenis MPV warna putih.

“Salah seorang daripada suspek membawa lari motosikal jenis Yamaha Y15R seperti mana diviralkan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara gambar yang dimuat naik Khuzaimi di Insta Storynya memaparkan keadaan rumahnya yang berselerak akibat dipecah masuk individu tidak dikenali, semalam.

Susulan kejadian tersebut, mangsa kerugian dianggarkan RM15,000 termasuk motosikal tersebut dan empat beg berjenama.

Tegas Mohd. Iqbal, bagaimanapun dalam kejadian tersebut tiada wang tunai dilarikan suspek-suspek tersebut.

“Polis sedang berusaha untuk mengesan dan menangkap suspek dengan segera. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ahmad Khuzaimi kerugian apabila rumahnya telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga beberapa barang berharga hilang dicuri.

Kejadian tersebut berlaku selepas dia meninggalkan rumah kira-kira pukul 2 petang untuk menjalani latihan bola sepak.

Terdapat barang-barang berharga telah hilang antaranya adalah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, beg silang pelbagai jenama beserta pasport. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI