MUIZ dan Inayah lebih daripada sekadar dua ekor kucing peliharaan. Kedua-dua kucing itu sudah dianggap seperti anak oleh Mohd. Hazrizal Manap.
Dua si comel tersebut sering dibawa ke mana sahaja termasuk sewaktu melakukan aktiviti perkhemahan dan balik kampung.
Biarpun Muiz dan Inayah dipakaikan abah-abah (harness), namun potensi untuk haiwan itu terlepas tetap ada memandang sifatnya yang suka meneroka.
Justeru, terdetik dalam hati lelaki berusia 37 tahun itu untuk membuat kad pengenalan haiwan buat kedua-dua ‘anak bulus’ kesayangannya.
Menurut Mohd. Hazrizal, langkah itu diambil bagi memastikan proses pengesanan dapat dilakukan dengan lebih mudah sekiranya kucing berkenaan terlepas daripada jagaannya.
“Walaupun kad pengenalan ini tidak memiliki sistem kedudukan sejagat (GPS), namun pengesanan boleh dibuat sekiranya haiwan tersebut dijumpai sama ada hidup atau mati.
“Ia boleh dibuat dengan membawa haiwan tersebut ke veterinar berdekatan dan memeriksa kod pada mikrocip di lehernya sama ada betul atau tidak dengan buku biru.
“Cuma, saya harap masyarakat diberi kesedaran untuk membawa haiwan yang mereka jumpa ke veterinar sebelum dijadikan milik sendiri,” katanya ketika ditemui K2 pada Hari Veterinar 2024 di Ladang Ternakan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, Pet Passport atau Kad Pengenalan Haiwan Malaysia merupakan dokumen rasmi Kerajaan Malaysia di bawah Projek Sistem Kebolehkesanan Haiwan Malaysia (MATs).
Haiwan peliharaan boleh didaftarkan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Veterinawan Bertauliah berdaftar.
Pasport tersebut merupakan inisiatif DVS di bawah Akta Peruntukan Haiwan 1953.
Terdapat dua jenis kad pengenalan haiwan iaitu saiz lebih kecil untuk anjing, kucing dan arnab, manakala saiz besar bagi kuda.
Perkhidmatan membuat kad pengenalan haiwan itu meliputi pemeriksaan fizikal, memasukan mikrocip ke dalam haiwan serta mengambil gambar haiwan.
Sementara itu, seorang lagi pemilik haiwan, Deidre Justin memiliki motivasi berbeza di sebalik keputusannya untuk membuat kad pengenalan haiwan buat Keegan dan Alfie.
Sebagai anak perantau dari Sabah yang berkhidmat di Kuala Lumpur, wanita berusia 35 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk membawa kucing-kucingnya pulang ke Negeri di Bawah Bayu pada satu hari nanti.
Katanya, kad pengenalan haiwan memiliki maklumat rasmi lengkap dan diiktiraf kerajaan, sekali gus memudahkan urusan membawa haiwan itu ke mana sahaja.
“Dengan adanya kad pengenalan ini, saya tidak perlu lagi membawa banyak dokumen seperti kad vaksin dan surat pengesahan kesihatan.
“Proses untuk pengesahan juga tidak sukar kerana kucing hanya perlu periksa nombor mikrocip dan maklumat dalam buku. Pasport ini juga kecil dan mudah bawa. Oleh itu, senang kalau berkaitan dengan urusan yang memerlukan kita menempuhi imigresen,” katanya.

Sebagai rekod, maklumat asas dalam kad pengenalan haiwan meliputi nama, spesies, baka, jantina, status mandul, warna, tarikh lahir, nombor pasport, tarikh dikeluarkan dan pendaftar lokasi mikrocip serta gambar.
Pada bahagian belakang pula disediakan ruang untuk kemas kini vaksin, ubat kutu dan ubat cacing yang perlu dilakukan secara berkala.
Sementara itu, proses memasukkan mikrocip ke bawah lapisan kulit di antara dua tulang belikat hanya memakan masa kurang dari lima minit.
Pegawai Unit Daya Jejak,Bahagian Kawalan Penyakit Dan Biosekuriti Veterinar Putrajaya, Muhammad Nur Daniel Abu Hasan berkata, haiwan tidak boleh dimandikan dalam tempoh tiga hari hingga satu minggu selepas prosedur memasukan mikrocip.
“Rongga belakang haiwan masih lagi terbuka selepas prosedur dan hanya akan bercantum semula secara perlahan-lahan dalam masa tiga hari hingga seminggu.
“Pemilik juga digalakkan untuk memantau dan mengurut belakang haiwan mereka agar mikrocip tidak terkeluar akibat pergerakan aktif sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.
Menariknya, mikrocip berkenaan tidak boleh dikeluarkan melainkan pemilik melakukan prosedur pembedahan di kawasan ia ‘ditanam’.
Ini bermaksud, penggunaan kad pengenalan haiwan mampu memupuk sifat tanggungjawab pemilik kerana maklumat mereka ada pada mikrocip terbabit.
Sekiranya mahu menukar hak milik haiwan, pemilik boleh mengemas kini maklumat dalam kad pengenalan dan mikrocip haiwan di DVS atau klinik berdaftar.
Apabila haiwan tersebut mati, pemilik boleh mengemas kini maklumat di DVS berdekatan.
Bagi pemilik yang mahu membawa merentasi sempadan atau terbang ke luar negara, mereka hanya perlu menambah permit import dan eksport dari negeri atau negara terlibat.
Bagaimanapun, pemilik perlu mengemas kini maklumat vaksin rabies, pemeriksaan kesihatan dan maklumat rawatan cacing pita bagi sesetengah kes.
Menurut Pembantu Veterinar Seksyen permit dan Eksport Negeri Selangor, Mohd. Nur Al Quddus Ab. Rahman, pemilik haiwan perlu merujuk maklumat diperlukan oleh negara destinasi.
Katanya, setiap destinasi memiliki syarat yang berbeza berdasarkan situasi tertentu.
“Setakat ini, tiada halangan untuk membawa haiwan merentasi negeri di Semenanjung. Untuk Sabah dan Sarawak, pemilik memerlukan beberapa dokumen tambahan.
“Mereka perlu bawa maklumat vaksinasi rabie, permit import Sabah atau Sarawak dan permit eksport negeri terlibat di Semenanjung,” ujarnya.














