fbpx

Bekas Setpol Hamzah Zainudin didakwa terima suapan RM350,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sayed Amir ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Faham, mohon dibicarakan,” kata tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa menerima wang rasuah itu daripada seorang pengarah syarikat masing-masing RM100,000 dan RM250,000.

Ia sebagai upah bagi mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna SistemRMPNET Untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM)/KDN bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat Yayasan di Solaris Dutamas di sini pada 4 dan 16 Disember 2020 lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Tertuduh juga dilarang berhubung atau berjumpa dengan saksi secara fizikal atau apa-apa medium,” kata hakim Azura.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong, manakala tertuduh diwakili peguam Md. Yunos Shariff. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI