BAGAI pisang goreng panas, baru sahaja beberapa hari pengumuman Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia dibuat, tiket persembahan mega tersebut sudah habis ditempah.
Semua tempat duduk di Dewan Plenary KLCC yang menjadi gelanggang aksi Ella kali ini dengan kapasiti 2,990 penonton sudah bertuan.
Situasi tersebut sekali gus mengulang kejayaan detik penjualan tiket Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota tahun lalu licin terjual dalam waktu singkat sehingga mencatat sejarah sebagai Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours dalam Malaysia Books of Records.

Tiket ‘sold out’
Ditanya sama ada konsert bakal ditambah lagi satu malam, pemilik nama Ella Nor Zila Aminuddin, 58, menyerahkan segala-gala keputusan kepada pengurusannya, RockQueen serta Hitman Solutions selaku penganjur.
“Sebenarnya semua perkara mahupun kemungkinan sudah kita jangkakan tetapi setiap keputusan perlu perincian wajar kerana membabitkan banyak pihak.
“Apa pun hanya syukur yang mampu saya dan pasukan dapat zahirkan untuk peminat yang saya sayang atas sokongan padu,” katanya kepada HibGlam.
Bercerita mengenai konsert yang menggabungkan rock serta orkestra tersebut, Ella yakin repertoire persembahan pada Ogos kelak berbeza berbanding apa yang pernah dipentaskan sebelum ini.
“Saya akan menyanyi sambil diiringi band dan pemuzik orkestra, konsert bakal menyaksikan saya menyanyikan sebuah lagu irama Melayu asli yang tentu sahaja pilihan sendiri.
“Saya pilih untuk menyanyikan lagu irama Melayu asli yang muziknya akan digubah semula dalam bentuk rockestra. Tujuannya untuk mencabar kemampuan diri.
Mungkinkah lagu dimaksudkan Jauh Di Mata atau dendangan asal penyanyi lain? Tunggu!
“Saya juga akan bawa lagu yang anda sendiri tidak pernah dengar di konsert sebelum ini, cuma repertoire persembahan masih dalam fasa perbincangan,” ujarnya bersemangat.
Menurut penyanyi kesayangan ramai itu lagi, sebagai pelengkap, bakal diundang adalah seorang artis jemputan yang juga idolanya.

Idola
Meninggalkan identiti penghibur dimaksudkan sebagai kejutan, seperkara yang harus dikongsikan juga, konsert Ella kali ini akan menggunakan khidmat Datuk Acis sebagai pengarah muzik.
“Artis jemputan nanti adalah idola saya.
“Apa yang boleh saya katakan genre muziknya bukan rock tetapi beliau memang ‘meletup’.
“Kalau saya bagi ‘hint’ nanti, semua orang boleh teka.
“Tugas pengarah muzik pula saya serahkan kepada Datuk Acis yang pastinya dapat memenuhi selera ramai dari segi menyuntik rasa kepada keseluruhan persembahan,” kongsinya.

Berdebar tunggu Ogos
Berkongsi rasa menunggu tarikh konsert, Ella mengakui gementar terutama apabila mengenangkan sambutan hebat konsert terdahulu.
“Sebenarnya sangat gementar sampai sukar untuk tidur nyenyak.
“Apabila dimaklumkan tiket ‘sold out’, debaran masih belum hilang kerana pada masa sama saya perlu memberikan yang terbaik untuk peminat.
“Bagi saya, kepercayaan peminat yang berada di belakang saya sejak dahulu sehingga sekarang membuatkan saya masih mampu berdiri di sini,” jelasnya.

Persaingan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal mengakui Ella bukan calang-calang penghibur apabila setiap konsertnya meraih sambutan luar biasa.
Sebagai memenuhi standard konsert terbaik, pasukannya akan memastikan perincian persembahan dari A hingga Z dapat disempurnakan sebaik mungkin.
“Keputusan menganjurkan konsert ini baru sahaja dibuat dan ada banyak perkara yang masih dalam perbincangan, tapi kami pastikan semuanya terbaik.
“Kami penuhi hasrat penonton kerana mereka inilah yang sering menghubungi saya meminta konsert berskala besar untuk Ella diteruskan.
“Pada masa sama, kami mahu konsert ini mampu memberi nilai tambah buatnya dan disebabkan itu, kami berusaha memenuhi segala keperluannya,” ujarnya lagi.
Mengulas pemilihan tarikh konsert yang berdekatan dengan tarikh penganjuran konsert artis lain, Rohit tidak melihat perkara itu sebagai persaingan.
“Sekarang kita lihat ramai yang menganjurkan konsert dan ini merupakan perkembangan baik apabila masing-masing juga menjalankan bisnes.
“Lagipun tarikh diberikan pihak yang menyediakan lokasi, manakala jadual Ella juga agak ketat kerana ada banyak komitmen. Cuma tarikh itu sahaja ada kelapangan,” jelasnya.














