fbpx

Proses dadah MDMA, ekstasi, ketamin dalam rumah sewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ku Mashariman menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di kediaman suspek Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Berbekalkan pengalaman lampau, seorang lelaki tempatan bergerak secara solo hampir dua bulan dalam menghasilkan serbuk methylene dioxy-methamphetamine (MDMA), ekstasi dan ketamin di kediaman yang disewanya.

Hasrat lelaki tempatan berusia 45 tahun mengaut keuntungan lebih besar itu tergendala apabila pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Brickfields telah menyerbu kediamannya di Jalan 3/149e, Bandar Baru Sri Petaling, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya berjaya merampas 2.3 kilogram (kg), pil ekstasi (0.1084 kg) dan ketamine (0.0206 kg) yang bernilai RM 106,650 ketika serbuan dijalankan kira-kira 4.20 pagi itu.

Selain itu, katanya, peralatan memproses dadah seperti ketuhar (2), alat pengisar (3), alat penimbang, mesin penebuk tablet manual, mangkuk kaca serta wang tunai berjumlah RM 100 turut dirampas.

“Modus operandi suspek adalah dengan menghasilkan dadah berkenaan di rumah sewanya dengan menggunakan bahan mentah yang diperoleh dalam negara, hasil penyelidikan sendiri bagi mendapatkan lebih keuntungan. Selain itu, suspek juga bergerak solo supaya tingkah lakunya tidak dapat dikesan polis.

“Kita percaya suspek bergerak aktif selama hampir dua bulan dan mengedarkan dadah kepada pelanggannya secara terus di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan kereta sendiri.

“Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai 10 rekod membabitkan lapan rekod dadah dan dua rekod jenayah. Menerusi pengalaman lampau serta pergaulan suspek terdahulu, dia dengan mudah mendapat pelanggan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut modus operandinya, suspek berkomunikasi dengan pelanggan melalui aplikasi sembang maya sebagai medium sebelum melakukan penghantaran bekalan dadah terbabit.

“Harga pasaran bagi dadah jenis MDMA dan pil ekstasi adalah maksimum RM200 hingga RM250 mengikut berat.

“Sementara itu, kita masih melakukan siasatan termasuk melibatkan keuntungan yang diperoleh suspek.

“Suspek didapati positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamin manakala suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya masih menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat serta sumber bekalan yang diperolehi.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 03-22979222 sambungan 533 bagi membantu siasatan,” pesannya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI