fbpx

Masalah mental dorong kanak-kanak terjerumus jenayah seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhaily (tengah) melawat pesakit kanak-kanak selepas Program Lawatan Hospital sempena Hari Polis ke-217 Tahun 2024 di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat sebagai antara punca berlakunya banyak kes jenayah seksual bawah umur, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesihatan mental kanak-kanak adalah sesuatu yang perlu diteliti semua pihak berkepentingan.

“Kes terbaru membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun yang membimbangkan saya. Dia tidak didera atau dipaksa tetapi rela melakukan (rogol), jadi ini bukan mengenai penyakit fizikal, tetapi berkaitan kesihatan mental.

“Kepakaran hospital untuk membantu mencari penawar kepada situasi sebegini amat diperlukan, saya khuatir untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berucap pada program Lawatan Hospital sempena Hari Polis ke-217 tahun 2024 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak bermasalah sedemikian akan terus membesar dalam masyarakat dan dikhuatiri akan menimbulkan masalah lebih serius jika masalah itu tidak ditangani lebih awal.

“Namun ‘corrective measures’ (langkah pemulihan) pada masa ini amat kurang.

“Sebagai contoh, kes seksual rambang oleh seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun baru-baru kerana ingin membayar hutang, kami ingat itu kes yang paling muda, tetapi baru-baru ini ada kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun.

“Disebabkan inilah kita (PDRM) memerlukan kepakaran dalam konteks kesihatan mental dalam membantu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Ini kerana generasi muda adalah masa depan kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata punca kepada jenayah seks membabitkan kanak-kanak ini daripada akses bahan pornografi yang mudah berbanding dahulu.

“Akses kepada bahan sedemikian semakin terbuka (tanpa sekatan), justeru satu perbincangan yang lebih menyeluruh kerana perkara ini kita telah bangkitkan ke peringkat kementerian berkaitan.

“Kita rasa perkara ini mungkin perlu dilihat lebih mendalam dalam konteks penggubalan undang-undang jenayah siber itu sendiri,” katanya

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berpendapat ruang siber masa kini yang membawa naratif barat dilihat mencabar penguatkuasaan undang-undang sedia ada berlandaskan nilai-nilai setempat.

“Bagaimana kita hendak kuatkuasakan (undang-undang) jika undang-undang dan prosedur antarabangsa bercanggah dengan nilai setempat.

“Namun perkara ini bukan sahaja berlaku di negara ini sahaja, malah berlaku diseluruh dunia. Itulah cabaran yang saya lihat yang PDRM perlu terus tangani pada masa ini dan masa akan datang,” katanya.

Sebagai satu langkah pertama, pihaknya berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dengan HPKK UKM sebagai sebuah hospital pakar kanak-kanak tercanggih dalam negara berhubung isu kesihatan mental kanak-kanak.

“Mungkin selepas ini kita boleh duduk bersama untuk berbincang dengan lebih lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI