fbpx

KRM dalam fasa terakhir selesai kes pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRESIDEN KRM, Amir Amri Mohamad berharap kes melibatkan pecah amanah dapat diselesaikan.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menegaskan bahawa kes siasatan pecah amanah bernilai hampir RM2 juta yang dikesan pada 2022 kini dalam fasa terakhir untuk mengheret individu yang disyaki terlibat dalam jenayah kolar putih ke muka pengadilan.

Pengarah Undang-Undang dan Peraturan KRM, Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan pihak polis berkenaan jenayah komersial tersebut kini akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat ini.

“Kita sering berhubung dengan pegawai penyiasat dari pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi. Ketika ini, status isu pecah amanah melibat kes KRM masih dalam siasatan dan siasatan itu di peringkat akhirlah untuk dapatkan arahan selajutnya oleh Timbalan Pendakwa Raya.

“Buat masa ini suspek telah dikenalpasti dan kebiasaannya kes-kes melibatkan jenayah komersial ini perlu mengheret tertuduh ke muka pengadilan barulah kita tahan suspek tersebut.

“Mengenai nilai pecah amanah tersebut saya tidak boleh dedahkan kerana ia masih dalam siasatan polis tetapi apa yang boleh saya katakan nilai daripada laporan audit forensik dan siasatan polis berbeza kerana ia lebih kepada transaksi.

“Jadi, kita kena tunggu laporan siasatan pihak polis dan selepas itu barulah kita tahu berapa nilai pecah amanah yang dilakukan oleh tertuduh. Kita harap, masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Dalam pada itu, Presiden KRM, Amir Amri Mohamad mendedahkan menerusi EGM tersebut pihaknya telah mendapat sokongan sebanyak 12 ahli gabungan KRM untuk meneruskan siasatan terutama membentangkan laporan kewangan pada tahun 2021 dan 2022.

Tegas Amir, laporan audit kewangan yang dibuat oleh firma audit swasta akan dibentang secara lebih terperinci kepada ahli gabungan dalam tempoh seminggu.

“Menerusi mesyuarat EGM hari ini kita telah mendapat sokongan 12 ahli gabungan dan mereka semua berada di belakang kita untuk meletakkan semula KRM di pentas lebih baik.

“Jadi, ahli gabungan bersetuju agar laporan firma audit swasta dibentangkan dalam tempoh terdekat ini. Saya harap dengan laporan itu kita dapat meleraikan kemelut ini,” ujarnya.

Pada Disember 2022, KRM telah membuat laporan polis berhubung kes pecah amanah disyaki dilakukan seorang daripada kakitangannya dengan memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai seorang daripada penandatangan cek.

Menurut KRM, kakitangan itu juga disyaki memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran wang tunai daripada bank.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI