fbpx

Agensi tempatan perlu berubah, belajar keupayaan Uzbekistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menyampaikan ucapan dalam Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, syarikat dan agensi di Malaysia perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi dalam tempoh singkat.

Perdana Menteri berkata, meskipun negara seperti Malaysia dan Uzbekistan banyak bergantung pada pelaburan negara besar, namun masa hadapan kita amat bergantung pada keupayaan membina kekuatan sendiri.

“Kedua-dua negara perlu menggunakan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Kolaborasi sesama negara sedang membangun perlu diperkukuh untuk sama-sama menyokong pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara terlibat,” jelasnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia dalam Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia bersama-sama pimpinan kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev.

Forum tersebut turut dihadiri lebih 200 tokoh industri dan ketua-ketua syarikat pelbagai sektor dari Malaysia dan Uzbekistan dan sesi dialog turut diadakan bagi mengetahui secara jelas dasar dan hala tuju negara.

Antara yang hadir termasuklah syarikat-syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan lebih RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group, selain syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas, KWSP, Khazanah, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.

“Dalam ucapan, saya nyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan, E&E, halal dan kewangan Islam, selain bidang-bidang baharu seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Usai sesi dialog, saya dan Jamshid menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan serta syarikat Malaysia dan Uzbekistan. MoU ini turut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan universiti tempatan.

“Insya-Allah, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia ini dijangka menjana hasil eksport sekurang-kurangnya RM710 juta, yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Agensi-agensi perlu mempermudah dan menyegerakan urusan pelaburan ini,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI