fbpx
Pencarum beratur untuk mendaftar Akaun Fleksibel ketika tinjauan di Pejabat KWSP, Kuala Lumpur semalam.

Sekarang happy, sengsara kemudian hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan agar tidak mengeluarkan simpanan untuk keperluan bukan mendesak seperti membeli gajet baharu dan melancong bagi mengelakkan mereka ‘papa kedana’ selepas bersara.

Ini kerana, kekerapan pengeluaran wang melalui Akaun Fleksibel yang dibenarkan berkuat kuasa 11 Mei lalu akan menyebabkan wang persaraan pencarum berkurangan sebanyak 10 peratus.

Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara, Nadzir Awang Ahmad berkata, pengeluaran secara kerap bagi tempoh jangka panjang menyebabkan akan dana persaraan pencarum akan berkurangan.

“Dengan mengambil kira jangka hayat penduduk yang dijangka meningkat menjelang 2030 dan peningkatan kos sara hidup akan menyebabkan pencarum sukar meneruskan kehidupan selepas pencen jika simpanan tidak mencukupi.

“Oleh itu, adalah penting bagi pencarum untuk fikir sedalam-dalamnya sebelum membuat pengeluaran (Akaun Fleksibel) tersebut kerana keputusan yang dibuat sekarang akan memberi kesan dalam aspek kewangan pada masa hadapan.

“Guna wang pengeluaran Akaun Fleksibel untuk perkara yang penting sahaja seperti untuk keperluan pendidikan dan kecemasan. Elakkan pengelua­ran wang KWSP untuk membeli gajet baharu atau melancong,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Nadzir, perancangan kewangan secara berhemah dalam kalangan ahli KWSP adalah penting untuk kelangsungan hidup mereka selepas bersara.

Jelasnya, orang ramai digalakkan supaya mengamalkan sikap ‘mengukur baju di badan sendiri’ bagi mengelak mereka dibelenggu masalah kewa­ngan di kemudian hari.

Beliau memberitahu, tujuan utama Akaun Fleksibel diwujudkan adalah sebagai alternatif bagi membantu pencarum yang terdesak atau berada dalam situasi kecemasan terma­suk perubatan semen­tara me­nunggu gaji.

“Pengeluaran maksimum RM250 sehari dilihat satu jumlah yang tinggi dan dapat me­ringankan beban jika pencarum betul-be­tul terdesak,” katanya.

Ujar beliau, sekiranya tidak berdi­siplin, pengeluaran wang RM250 maksimum sehari itu membolehkan ahli KWSP gelap mata seketika de­ngan membeli barangan bukan keperluan.

“Justeru itu, tiada faedah yang diperoleh daripada pencarum melalui kemudahan Akaun Fleksibel ini (jika digunakan untuk tujuan kehendak),” katanya

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan keperluan mendesak terutama dalam urusan perbelanjaan harian me­nyaksikan pencarum KWSP sanggup beratur panjang seawal pukul 7 pagi ke pejabat KWSP di seluruh negara bagi urusan mengeluarkan duit melalui Akaun Fleksibel.

Rata-rata pencarum meng­akui mereka tidak mahu me­nunggu lama untuk membuat permohonan pemindahan wang dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel bagi membolehkan pengeluaran wang dibuat.

Mereka juga lebih selesa berurusan di pejabat KWSP berban­ding menggunakan kaedah online bagi pengeluaran melebihi RM250.

Tinjauan mendapati penca­rum berpandangan kemudahan yang diberikan kerajaan menerusi Akaun Fleksibel merupakan satu keputusan yang baik di saat ramai rakyat sedang berdepan kenaikan kos sara hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN