fbpx
Sejak Ahad lalu, pejabat KWSP diserbu pencarum untuk urusan pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel. Foto oleh PUQTRA HAIRRY ROSLI/ KOSMO! - GAMBAR HIASAN

Orang keluar KWSP, kami tengok saja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketika ramai pencarum lain sedang tersenyum apabila berjaya memindahkan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel, ada sebahagian ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa ‘gigit jari’.

Semuanya gara-gara duit dalam simpanan Akaun 2 atau kini dikenali sebagai Akaun Sejahtera sudah ‘licin’ selepas banyak pengeluaran khas KWSP dilakukan sebelum ini menerusi program seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Seorang pencarum yang dikenali sebagai Sofea, 40, berkata, dia terkilan apabila Akaun 2 hanya berbaki sekitar RM100 selepas mengeluarkan hampir kesemua simpanan bagi menampung ke­perluan hidup setelah kehila­ngan kerja ketika Covid-19.

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2020, saya hilang kerja sebab syarikat tutup kerana rugi teruk. Jadi masa itu saya sangat terdesak dan keluarkan hampir semua simpanan dalam Akaun 2 menerusi i-Lestari, ­i-Sinar dan i-Citra.

“Sekarang apabila kerajaan umumkan Akaun Fleksibel, saya hanya boleh tengok, nak keluarkan lagi memang duit sudah tak ada. Sejujurnya saya amat memerlukan duit ketika ini,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Sofea merupakan ibu tunggal yang menyara dua anaknya, ma­sing-masing berusia 7 tahun dan 13 tahun selepas berpisah de­ngan suami pada 2019.

Kata Sofea, dia amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengeluaran menerusi Akaun 1 dengan penetapan had maksimum RM5,000 untuk kegunaan keperluan hidup.

“Saya hanya kerja sebagai pembantu kedai makan, nak cari kerja lain susah sebab faktor usia saya yang sudah 40 tahun. Kalau boleh dipertimbangkan untuk Akaun 1, mungkin bantu golo­ngan seperti saya,” ujarnya.

Siti Khadijjah Hajeri, 48, pula berkata, simpanan dalam Akaun Sejahteranya berbaki kurang daripada RM150 sahaja, sekali gus membuatkan dirinya terpaksa melupakan hasrat untuk membuat pengeluaran menerusi Akaun Fleksibel.

Menurutnya, simpanan dalam Akaun 2 telah digunakan untuk ubah suai rumah pada 2014.

“Simpanan KWSP yang ada adalah hasil kerja saya sewaktu muda sekitar tahun 1990-an dan pada tahun 2003, saya memilih untuk menjadi suri rumah selepas berkahwin,” ujarnya.

Pada masa sama, Siti Khadijjah juga berharap agar kerajaan dan pengurusan KWSP dapat mempertimbangkan pengelua­ran menerusi Akaun 1 pula untuk dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Sementara itu, tinjauan ­Kos­mo! di platform media sosial mendapati, sebahagian pengguna kecewa apabila mereka tidak dapat mengeluarkan simpanan menerusi Akaun Fleksibel di­sebabkan kekurangan duit dalam Akaun Sejahtera.

Rata-rata mereka mengakui, simpanan yang tinggal berada pada tahap kritikal iaitu kurang daripada RM200 selepas beberapa kali membuat pengeluaran khas sebelum ini.

“Duit pun nyawa-nyawa ikan, macam mana nak keluarkan. Mampu tengok kawan-kawan buka Akaun Fleksibel sahaja,” kata pencarum yang dikenali sebagai Fadbullah.

Akaun Fleksibel adalah inisia­tif penstrukturan semula akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei lalu bertujuan memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli.

Menerusi perkongsian KWSP, jika pencarum memiliki simpanan kurang daripada RM1,000 di dalam Akaun Sejahtera, baki tersebut boleh dipindahkan kesemuanya ke Akaun Fleksibel.

Bagaimanapun, bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel ke akaun bank semasa atau simpanan, pencarum perlu memiliki sekurang-kurang RM50 sebagai baki dalam akaun.

Melalui Akaun Fleksibel, pencarum boleh mengeluarkan wang simpanan secara terus pada kadar maksimum RM250 sehari.

Bagaimanapun, mereka yang ingin mengeluarkan wang lebih RM250 perlu melalui proses eKYC secara dalam talian atau menggunakan alternatif lain se­perti mengunjungi pejabat KWSP terdekat untuk pengesahan cap jari.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN