ARAU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus meneroka serta mempergiatkan penggunaan teknologi baharu dalam pertanian bagi meningkatkan pengeluaran seterusnya mengurangkan jurang import dan eksport agromakanan negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, transformasi itu penting berikutan negara berhadapan cabaran mengurangkan jurang antara nilai import agromakanan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM78.7 bilion dengan nilai eksport RM46.38 bilion.
“Defisit ini masih terlalu tinggi dan usaha untuk mengurangkannya perlu dipertingkatkan supaya pengaliran keluar wang negara dapat dikurangkan.
“Saya percaya untuk kita mencapai matlamat ini, transformasi sektor pertanian negara mesti dilaksanakan dengan penggunaan teknologi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Kejuruteraan Pertanian Kebangsaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.
Katanya, penggunaan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI) merupakan antara teras dalam inisiatif Pelan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (Pintar) yang digariskan awal tahun ini bagi merevolusikan sektor pertanian agar seiring dengan peredaran zaman.
Mengulas lanjut, kata beliau, kejuruteraan pertanian dalam era globalisasi dan transformasi digital menjadi semakin kritikal untuk memastikan industri agromakanan negara kekal bersaing di pasaran antarabangsa.
“Justeru, pertanian digital adalah konsep yang semakin berkembang di era moden ini dengan melibatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kelestarian dalam sektor pertanian.
“Salah satu aspek yang sangat penting dalam pertanian digital adalah inovasi dalam pengeluaran dan pengurusan agromakanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE