ISKANDAR PUTERI – Kemalangan yang menimpa atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, selepas motosikalnya dirempuh dan diseret sejauh 600 meter oleh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk bukan sahaja mengejutkan seluruh negara, malah turut menjejaskan masa depannya sebagai seorang atlet.
Pemenang pingat gangsa acara perlumbaan bot tradisional pada Sukan SEA 2023 di Kemboja itu menjadi mangsa rempuhan pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL), Johor Bahru pada Sabtu lalu.
Kejadian itu menyebabkan anak kelima daripada lapan beradik itu mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang apabila tulang pinggul patah di tiga bahagian.
Ibunya, Saloma Ramli, 58, berkata, selain kecederaan pada tulang pinggul, Masyitah yang juga penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS),
Pasir Gudang itu turut patah pada bahu kanan selain luka teruk di belakang dan muka.
“Saya tetap bersyukur kerana dia selamat, namun keadaannya agak teruk dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri.
“Saya hanya dapat tahu tentang kemalangan ini daripada kawannya yang juga atlet kayak. Masa itu saya hampir pengsan bila tahu dia kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Columbia Asia, di sini semalam.
Saloma berkata, dia terkejut dan sedih terutama memikirkan masa depan anaknya yang mengalami kecederaan parah selepas dilanggar pemandu mabuk.
“Siti Nurul Masyitah memang minat sukan kayak sejak dibangku sekolah.Ketika tingkatan dua, dia ceburi bidang sukan kayak, sebab mahu bersukan yang lasak dan lain daripada kebiasaan yangh disertai oleh wanita lain.
“Apabila jadi begini, dia memerlukan rawatan susulan yang agak lama, mungkin mengambil masa bertahun atau mungkin dia juga dia sudah tidak boleh bersukan lagi kerana tulang pinggul dan bahu patah. Itu kekuatan utama dalam sukan ini,” katanya.
Menurut Saloma, kejadian berlaku ketika Masyitah dalam perjalanan menghantar tempahan minuman kepada pelanggannya dari kediaman keluarga di Kampung Parit Rambai, Pontian ke Bakar Batu, Johor Bahru.
Sementara itu, abangnya, Muhammad Syafiq, 29, berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku yang hampir meragut nyawa adiknya itu.
“Bila saya tengok video yang dihantar saksi kejadian, memang terkejut sebab dia jatuh dilanggar dan diseret 600 meter. Saya berharap polis melakukan siasatan menyeluruh dan mengheret pelaku kemuka pengadilan.
“Kita kena ambil cakna tentang perkara seperti ini supaya tidak berlaku lagi. Undang-undang perlu diperketatkan dan hukuman setimpal juga perlu dikenakan kepada pemandu mabuk yang membahayakan orang ramai.
“Bila ada hukuman setimpal, kejadian seumpama ini tidak berulang kepada mangsa yang lain akibat daripada pemandu mabuk,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemandu mabuk yang merempuh atlet kayak negara sehingga parah pada Sabtu lalu disahkan memiliki tujuh saman trafik tertunggak.
“Mangsa yang menunggang sebuah motosikal ketika itu dirempuh daripada arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an.
“Kenderaan tersebut dikatakan telah menukar lorong dari laluan tengah ke laluan kiri secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan berlaku sehingga mangsa retak bahu kanan dan tulang pinggul, selain beberapa luka di bahagian kaki,” katanya.













