fbpx
Steward menceburi seni kaca pateri sejak tahun 1998 dan mengusahakan seni tersebut di Art Glass Studio, Puchong, Selangor.

Serakan kaca pateri penyeri seni bina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA belajar menerusi buku dan pemerhatian, lelaki itu mendalami minatnya pada seni kreatif menerusi kemahiran membuat kaca pateri atau stained glass.

Steward C. K. Ng, 62, telah meninggalkan dunia profesional dalam bidang insurans bagi menceburi industri pembuatan produk kaca sepenuh masa pada tahun 1998.

Menurutnya, dia memilih untuk mendalami seni pembuatan produk kaca terutamanya kaca pateri kerana pada ketika itu masih tidak ramai yang mahir dan menceburinya.

“Saya memang meminati seni kreatif sejak di bangku sekolah dan mula minat kraf tangan kaca semasa membantu salah seorang klien insurans berhubung produk kraf kaca berhias miliknya.

“Dalam masa sama juga saya terdedah dengan seni kaca pateri sekali gus menarik minat saya untuk mempelajarinya,” katanya ketika ditemu bual K2 di studio seni kaca, Art Glass Studio, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, dalam proses mempelajari pembuatannya, dia juga banyak hadiri pelbagai pameran seni di beberapa negara untuk melihat hasil seni yang popular di negara Eropah itu.

Kaca pateri adalah seni kuno yang melibatkan penyambungan potongan-potongan kecil kaca dengan logam untuk membentuk gambar atau motif indah.

Sejak zaman pertengahan, kaca pateri telah menjadi sebahagian seni kreatif, dekorasi dan seni bina yang umumnya ditemukan pada jendela bangunan bersejarah atau tempat ibadah seperti gereja dan masjid serta kediaman.

Sejarah seni ini berkembang sejak abad ketiga Masihi di Eropah.

Namun, penggunaannya dalam konteks seni bina mula dikenali dan popular pada abad ke-12, khususnya pada masa keemasan seni bina Gothic.

Kongsi Steward, pengaruh seni kaca pateri dipercayai mula bertapak di Malaysia pada era 1970-an apabila terdapat penggiat yang menawarkan khidmat pembuatannya secara persendirian.

Dihasilkan dalam warna-warni, kaca pateri menyerikan seni bina.

“Pada ketika itu secara umumnya kaca pateri berada dalam industri kaca berhias dan pada era tersebut juga terdapat permintaan dalam sektor seni bina untuk menjadikannya sebagai dekorasi dalaman.

“Sebelum adanya penggiat tempatan, kaca pateri biasanya ditempah di luar negara dan hanya menjadi hiasan kediaman golongan berada, istana dan rumah ibadat utama,” ujarnya yang telah menghasilkan kaca pateri untuk hiasan beberapa istana di Malaysia dan kediaman selebriti seperti Jackie Chan serta Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Katanya lagi, fungsi utama kaca pateri adalah untuk memperindah ruangan atau binaan. Bangunan yang dihiasi dengan kaca pateri akan kelihatan lebih mewah, malah pernah menjadi simbol status sosial dan kewangan yang tinggi.

Menjelaskan proses penghasilan kaca pateri, Steward memberitahu peringkat awalnya adalah mereka bentuk rekaan sesuai dengan lokasi dan tujuannya.

Kaca pateri biasanya boleh menggunakan pelbagai jenis kaca dan warna daripada dua jenis, sama ada tembus cahaya atau tidak.

Kaca tembus cahaya biasanya digunakan untuk tingkap, pintu atau kawasan laluan cahaya, manakala kaca tidak tembus cahaya digunakan sebagai hiasan dalaman untuk menutup pendawaian rumah.

“Bagi rekaan kaca pateri, saya akan menggunakan perisian di komputer dan membuat satu lakaran penuh sesuai keinginan pelanggan sebelum mencetaknya mengikut templat sebagai rujukan pemotongan.

“Apabila sudah ada templat, barulah kaca akan dipotong mengikut bentuk dalam rekaan sebelum disusun dan dicantum dalam rangka logam timah yang akan mengikat sambungan kaca,” jelasnya yang kini mengusahakan pembuatan kaca pateri bersama anaknya, Chryssie.

Jelasnya, penggunaan timah adalah struktur terbaik kerana mudah dibentuk dan dipateri untuk mencantumkan bentuk rekaan kaca pateri.

Ujarnya lagi, kemahiran membuat kaca pateri memerlukan pemerhatian teliti terutama dalam memotong setiap keping kaca agar setiap bentuk dipotong kemas bagi mengelakkan pembaziran.

Selain itu, ia juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana pembuatan kaca pateri memakan masa antara seminggu hingga berbulan-bulan berdasarkan rekaan dan saiz.

Selepas kaca disusun dan dipateri, setiap cantuman akan perkemaskan agar kaca pateri kelihatan kemas dan tidak comot.

Kaca pateri juga boleh mencecah harga dari RM80 hingga RM800 ke atas untuk setiap kaki persegi bergantung rekaan dan jenis kaca.

Seni kaca pateri juga boleh dihasilkan untuk pelbagai produk lain seperti lampu tiffani atau produk hiasan dalaman.

Dalam industri kaca pateri, bapa kepada dua cahaya mata itu menjelaskan terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi.

Jelasnya, sehingga kini bilangan pengusahanya masih kecil iaitu antara lima atau enam orang sahaja.

“Memandangkan di Malaysia bidang pembuatan kaca pateri tidak besar, kita berdepan masalah sumber bahan mentah seperti kaca dan perkakasan yang mana kebanyakan perlu diimport dari luar negara.

“Kita juga berdepan lambakan lebihan kaca daripada pembuatan yang mana sehingga kini saya kumpul kemudian olah semula menjadi produk baharu,” kongsinya yang mempunyai pelanggan dari Taiwan, Jerman, Hong Kong, Jepun dan Amerika Syarikat.

Usaha melestarikan perniagaan juga dilaksanakan Chryssie yang menggalas tanggungjawab sebagai penyambung legasi seni kaca pateri bapanya.

Pelajari seni kaca pateri daripada bapanya, dia lebih memfokuskan kepada penghasilan produk hiasan dalaman dan cenderahati sebagai cara memanfaatkan lebihan kaca.

“Dengan lebihan kaca ini, banyak produk boleh saya hasilkan seperti pasu bunga, hiasan kaca pada mozek lantai atau aksesori rumah yang kecil.

“Kelestarian dalam industri amat penting yang mana bukan hanya dapat mengurangkan pembaziran tetapi pada masa sama menjaga alam sekitar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN