fbpx

Rumah harga RM300,000 dan ke bawah jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Projek rumah mampu milik yang ditawarkan pada harga RM300,000 dan ke bawah mencatat transaksi terbanyak dalam tempoh suku pertama tahun ini. -Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sektor kediaman telah mendominasi hampir 60 peratus daripada aktiviti pasaran hartanah negara pada suku pertama (Q1) tahun 2024  dengan merekodkan lebih 62,000 transaksi bernilai RM25 bilion.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, daripada rekod pencapaian tersebut, kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah masih menguasai pasaran dengan 33,500 bilangan transaksi direkodkan.

“Jumlah tersebut melebihi 50 peratus daripada jumlah transaksi bagi sektor kediaman bagi suku tersebut,” katanya ketika membentangkan laporan pasaran harta tanah Q1 2024 semalam.

Menurut beliau, aktiviti pasaran hartanah negara terus merekodkan pertumbuhan positif, dengan 104,297 transaksi dilakukan pada suku tahun pertama (Q1) 2024, peningkatan 17.2 peratus berbanding 89,024 transaksi yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Tambah beliau, jumlah unit kediaman siap dibina tidak terjual (overhang) turut merekodkan penurunan kepada hampir 24,000 unit dengan nilai RM16.5 bilion, berbanding hampir 26,000 unit bernilai RM17.7 bilion pada suku tahun keempat (Q4) 2023.

Pada masa sama, terdapat peningkatan minimal bagi kedudukan overhang pangsapuri khidmat pada kadar lima peratus dari segi bilangan dan hampir 10 peratus bagi nilai, dengan jumlah overhang mencecah 21,000 unit, bernilai hampir RM18.2 bilion. 

Unit pangsapuri khidmat berharga RM500,000 hingga satu juta merupakan penyumbang terbesar, mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Tambah beliau, sokongan kerajaan seperti pemanjangan tempoh pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah sehingga Disember 2025 menjadi pemangkin pasaran harta tanah yang lebih kukuh.

“Kerajaan juga memperkenalkan beberapa ikhtiar serta projek pemangkin untuk memacu ekonomi tempatan dan sekaligus merangsangkan pengembangan pasaran harta tanah. 

“Ini termasuk menambahbaik fleksibiliti syarat-syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home, membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan mewujudkan Zon Kewangan Khas di Forest City. 

“Turut menyokong permintaan harta tanah adalah perkembangan positif pembangunan seperti projek Rapid Transit Link di Johor, projek perindustrian utama di wilayah utara, projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI