MANUSIA terdedah kepada pelbagai jenis bahan kimia sama ada secara semula jadi atau melalui aktiviti harian.
Kebanyakan bahan kimia tidak berbahaya, tetapi ada sesetengahnya boleh meragut nyawa jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.
Di makmal misalnya, penggunaan bahan kimia mempunyai peraturan-peraturannya tersendiri dan perlu dikendalikan secara berwaspada.
Berdasarkan artikel daripada Engineerine, terdapat beberapa bahan kimia yang dikategorikan sebagai paling berbahaya di dunia sehingga boleh meragut nyawa.
Kali ini, Panorama menyenaraikan lima bahan kimia yang dikategorikan sebagai paling berbahaya di dunia.
1. Dimetil kadmium
Dimetil KADMIUM atau Dimethyl cadmium dikenali sebagai bahan kimia yang paling berbahaya di dunia dan ia tidak pernah selamat untuk digunakan.
Malah, beberapa mikrogram daripadanya yang menyejat pada suhu ambien boleh menjadi sangat berbahaya jika dihidu oleh manusia.
Bahan kimia ini akan memasuki aliran darah dan mengalir ke pelbagai organ serta mengeluarkan elektron daripada membran sel.
Selain itu, ia adalah karsinogenik, bermakna mana-mana sel yang tidak dimusnahkan pada kali pertama boleh menghadirkan kanser.
Dimetil kadmium mudah terbakar dan boleh membawa maut apabila cair. Bahan kimia ini juga mungkin kering menjadi kerak yang mudah
meletup dan sangat tidak stabil.
Ia meletup dalam letupan ringkas jika jatuh ke dalam air. Ia juga berbau busuk, jadi jika seseorang pernah terdedah dengan bahan kimia ini, mereka berisiko kehilangan nyawa.
2. Natrium sianida
Natrium sianida sering digunakan dalam proses perindustrian.
Baunya seperti badam, tetapi jika terlalu dekat dengannya, seseorang itu berpotensi mati dalam beberapa saat.
Sianida menghalang mitokondria daripada menggunakan oksigen dengan mengikat protein sitokrom c oksidase.
Permulaan simptom boleh menjadi cepat selepas seseorang terdedah kepadanya hingga mengundang maut. Dos yang berlebihan boleh membawa maut hanya beberapa saat. Bahan ini boleh ditemui dalam alga, kulat, bayam, badam, kacang lima dan biji buah pic.
Bagaimanapun, bahan-bahan itu mengandungi jumlah sianida sangat rendah.
3. Larutan piranha
Dalam perkongsian di YouTube, terdapat sebuah video tentang bagaimana larutan piranha menghakis kaki ayam dengan mudah.
Daging boleh dipisahkan dari tulang dalam beberapa minit dengan larutan piranha.
Selain lebih berkesan daripada asid tulen untuk mengeluarkan bahan organik, ia juga akan menghakis tulang sepenuhnya jika ditenggelamkan dalam cecair itu.
Larutan piranha yang terkenal menggabungkan asid sulfurik dan hidrogen peroksida dalam nisbah tiga bahagian setiap satu.
Ia terkenal membuang semua kesan bahan biologi dalam masa singkat.

4. Nikotin
Tumbuhan menghasilkan nikotin sebagai strategi pertahanan terhadap herbivor.
Disebabkan itu, ia antara racun terburuk yang pernah ditemui.
Nikotin bukan sahaja boleh menyebabkan ketagihan pada dos agak sederhana, tetapi ia juga boleh membawa maut pada dos lebih tinggi.
Lima mikrogram setiap meter padu udara (mcg/m3) nikotin boleh memberi mudarat serta-merta kepada kehidupan dan kesihatan seperti dimaklumkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.
5. Dioksigen difluorida
Dioxygen difluoride, kadangkala dikenali sebagai FOOF ialah bahan kimia yang sangat reaktif dan terbukti terlalu toksik untuk digunakan oleh saintis.
Satu artikel melaporkan bahawa ia paling stabil sekitar 90 Kelvin, iaitu kira-kira -180 darjah Celsius. Namun begitu, pada suhu sedemikian, ia masih dipersoalkan sama ada bahan tersebut bebas daripada risiko letupan.
Bahan ini juga boleh menyebabkan ledakan pada suhu bilik. Ia akan terbakar secara spontan jika bersentuhan dengan etil alkohol pepejal.
Satu titisan bahan ini akan menyala apabila bersentuhan dengan metana pada 90K dan 0.2 mL gas akan menyebabkan letupan.
FOOF boleh menyebabkan letupan jika terdedah kepada pelbagai persekitaran dan bahan kimia lain.














