fbpx
Baderi (kiri) dan Saad (kanan) menunjukkan sampah yang dibuang sehingga mencetuskan bau busuk di Jalan Parit 4/8, Batu 40 Api-Api di Pontian semalam.

‘Tujuh tahun sengsara, kalau hujan lagi azab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Kira-kira 500 penduduk yang tinggal di Lorong Berkat, Jalan Parit Lapis Kayu Ara Pasong, Jalan Parit Dua Api-Api serta kawasan sekitar terpaksa hidup dengan menghidu bau busuk sejak tujuh tahun lalu berpunca sebuah tapak pelupusan sampah haram.

Bau busuknya akan bertambah teruk apabila hujan di tapak sampah haram di Jalan Parit 4/8, Batu 40 Api-Api itu.

Seorang penduduk Baderi Md. Yusof, 39, berkata, rumah yang didiaminya terletak beberapa puluh meter sahaja dari tapak haram terbabit.

“Saya tidak tahan menghidu bau busuk terutama ketika hujan sejak berpindah pada 2017. Saya telah mengeluarkan belanja untuk menimbus sampah yang terlalu banyak bagi mengelakkan isu lain seperti lalat mahupun gangguan anjing dan biawak.

“Papan tanda melarang orang ramai membuang sampah turut dinaikkan tetapi seperti tidak dihiraukan pelaku.

“Mereka membuang sampah pada waktu malam dan juga menjelang maghrib. Sampah-sampah ini termasuk daripada peniaga makanan, penjual buah-buahan mahupun dari kediaman,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, lokasi itu merupakan laluan yang jarang dilalui penduduk.

“Jika isu ini berlarutan, saya mencadangkan jalan ini ditutup kerana hanya menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Api-Api, Saad Haron berkata, dia telah merujuk masalah tersebut kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) tetapi diberi tahu kawasan tersebut bukan di dalam pentadbiran MPPn.

“Jalan Parit 4/8, Batu 40 Api-Api itu merupakan jalan pertanian di bawah penyeliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Jika dua agensi tersebut tidak boleh membantu, kami tidak tahu lagi untuk mengadu,” ujarnya.

Tambahnya, dia akan cuba mendapatkan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai tindakan terakhir bagi menghalang orang ramai membuang sampah di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN