MELAKA – Tuan rumah sanggup berbelanja serendah RM1,500 untuk mengupah katering, selain ada yang berbelanja seolah-olah sebuah majlis perkahwinan dengan menjemput 500 tetamu ketika mengadakan rumah terbuka.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Pemilik MN Family Kanopi & Katering, Muhammad Amyrul Nor Sharuddin, apabila dia mendapati selain jumlah pelanggan baharu bertambah, jumlah jemputan turut meningkat kepada 500 orang berbanding 200 pada tahun-tahun sebelum ini.
“Selalu tempahan adalah bagi 150 tetamu jemputan, namun tahun ini paling paling sedikit 500 orang bagi setiap rumah, sudah macam majlis kahwin.
“Memang permintaan meningkat, dulu orang tak berani nak ambil (tempah) banyak tetapi sekarang mereka tidak kisah asalkan dapat buat rumah terbuka dan tidak penat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Selain itu, menurut pemilik MHI Teguh Katering & Kanopi, Fairuz Musa, syarikatnya kini telah menerima tempahan bagi kira-kira 50,000 tetamu bermula minggu kedua Syawal sehingga penghujung Aidilfitri ini.

Katanya, tempahan itu merangkumi majlis rumah terbuka yang diadakan setiap hari dan tidak tertumpu pada waktu hujung minggu.
“Kebanyakan mereka yang ambil katering ini kerana tidak mahu rumah bersepah dan penat untuk menyediakan juadah, dengan harga yang kita beri ini mereka cuma rugi sekitar RM200 sehingga RM300 berbanding membuat semuanya sendiri.
“Ada juga pelanggan yang terikat dengan bajet tetapi tetap mahu menggunakan khidmat katerer, dia beritahu akan rebus nasi himpit sendiri jadi kami bersetuju menolak 50 sen dari harga asal,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz berkata, sejak minggu kedua Syawal tempahan di syarikatnya telah penuh dan ditutup.
“Jumlah tempahan paling sedikit adalah bagi 250 tetamu dan dalam sehari kami menyediakan juadah minimum untuk 3,000 tetamu dengan bayaran pakej paling murah adalah RM14 seorang,” katanya.
Ujarnya, antara pilihan menu yang ditawarkan di bawah pakej itu adalah nasi himpit, lemang, kuah lodeh, ayam rendang, ayam kari, roti jala, buah-buahan dan air, selain penyediaan kanopi.
“Kami juga menyediakan pakej yang harganya mencecah RM25 kerana mempunyai permintaan dan setakat ini mereka yang membuat tempahan tidak kisah untuk membayarnya dan memahami situasi harga barangan ketika ini.

Pemilik Abu Catering, Ahmad Amin Samad, pula berkata, selain tempahan bagi rumah terbuka, jumlah tempahan yang meningkat turut disumbangkan oleh majlis pertunangan dan perkahwinan pada bulan Syawal lalu.
Sementara itu, pengusaha apam balik, Khairil Jamaluddin, 38, berkata, keuntungan yang diraih sepanjang hampir sebulan Syawal tahun ini sama seperti tiga bulan jualannya di pasar malam.
“Ramai yang menempah apam balik sebagai juadah sampingan sempena majlis rumah terbuka.
“Raya kali ini saya memang tak menang tangan dan terpaksa minta bantuan kawan-kawan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Sekali tempahan minimum 500 keping apam balik. Kalau majlis untuk syarikat, dalam masa tiga jam, 5,000 keping habis dihidangkan,” katanya.
Dia akui gembira dengan sambutan yang diterima dan menganggap ia sebagai rezeki raya untuk perniagaannya yang mula diusahakan sejak 2018.














