Asid sulfurik, bahan yang mudah didapati dan kesannya sangat buruk. Sejenis bahan kimia yang tidak mempunyai warna, berminyak selain bersifat menghakis, yang pasti merana badan.
Asid sulfurik pekat banyak digunakan dalam bahan-bahan seksyen pembuatan seperti kilang dan justeru itu bahan kimia berkenaan sangat kuat.
Bahan kimia ini juga melalui pendedahan Kosmo! sangat mudah diperolehi, sama ada di kedai-kedai menjual barangan peralatan rumah mahupun di platform e-dagang.
Harganya tidak mahal, serendah RM100 sahaja dan sesiapa boleh mendapatkannya.
Kelmarin, seorang penuntut universiti dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dakwaan menyimbah asid sulfurik kepada rakannya berusia 22 tahun hingga menyebabkan mangsa cedera parah.
Tertuduh yang juga berusia 22 tahun itu juga dikatakan sanggup datang dari Johor membawa sebotol asid sebelum melakukan tindakan berkenaan ke atas rakannya selepas pertelingkahan antara mereka.
Seperti yang kita tahu, lecuran tahap keempat yang dihadapi tonggak utama Selangor FC, Faisal Halim juga berpunca daripada asid sulfurik pekat. Kecederaannya serius tetapi keadaan stabil. Sudah tiga kali dibedah.
Lecuran tahap keempat sangat serius dan boleh merosakkan lapisan kulit sepenuhnya termasuk bahagian otot dan tulang.
Sebelum ini, Kosmo! berkongsi luahan Nadia Fasha Qistina Azman Shah, 20, yang terpaksa menanggung derita selain malu apabila wajahnya cacat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika pulang bekerja di Denai Alam, Shah Alam pada 8 November lalu.
Katanya, asid itu telah menyebabkan 70 peratus anggota badannya rosak teruk.
“Muka rosak teruk dan malu hendak berjumpa sesiapa termasuk keluarga sendiri. Setiap kali bangun tidur kulit muka menjadi tegang, sakitnya tidak tertanggung. Saya menderita!,” luah Nadia Fasha.
Sejujurnya, banyak pengajaran daripada kisah mangsa simbahan asid yang perlu dan harus kita pelajari. Banyak sebab yang memungkinkan kejadian tragis ini berlaku antaranya dendam kesumat, benci teramat dan cinta.
Melalui kes ini kita mengetahui bahawa langkah awal yang boleh diambil adalah mengalirkan air sebanyak mungkin ke atas badan yang disimbah asid termasuk penggunaan sabun mampu mengurangkan kesan.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kesan simbahan asid tidak boleh dipandang ringan. Mangsa menderita seumur hidup. Bukan setakat wajah tetapi tidak mustahil mengakibatkan masalah kesihatan.
Penjualan asid sulfurik perlu dikawal lebih ketat bagi mengelakkan bahan kimia itu di salah guna seterusnya dijadikan pengganti amarah manusia.
Kepada pihak berkuasa, ambil langkah awal, wujudkan mekanisme bagi mengawal pembelian, sekurang-kurangnya dapatkan maklumat pembeli. Jadikan ia sebagai barang kawalan.
Sejujurnya, penjualan yang tidak dikawal dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat. Lebih manis kita bertindak awal sebelum ia menjadi modus operandi pelbagai jenayah lain.














