fbpx

Suami isteri didakwa lagi tipu pelaburan tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suchart EE@Quah (dua depan) dan isterinya, Kamontip Chu@Chim selepas prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima deposit RM34,387 tanpa lesen yang sah, empat tahun lalu.

SHAH ALAM – Bekas pengarah syarikat pelaburan dan isterinya yang terlibat dalam penipuan pelaburan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Suchart EE@Quah, 58, dan Kamontip Chu@Chim, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Pasangan suami isteri tersebut bersama seorang lagi rakan mereka didakwa telah menerima deposit daripada seorang lelaki berusia 50 tahun berjumlah RM34,387 tanpa lesen yang sah yang diberikan dibawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Dagang Jaya, Ampang pada 27 Oktober 2020.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137 (1) Akta
Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 137 (2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam S. Daniel mewakili pasangan suami isteri tersebut, memohon jaminan dikurangkan kepada RM7,000 susulan kedua-dua telah membayar jaminan keseluruhan RM16,000 atas pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Melaka, Isnin lalu.

“Kedua-dua anak guam saya tidak bekerja dengan menyara tiga orang anak serta seorang ibu yang lumpuh. Jaminan yang ringan boleh membolehkan mereka membayarnya pada hari ini,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan sebutan semula kes pada 4 Julai depan.

Kosmo! pada 6 Mei lalu melaporkan kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan menerima deposit berjumlah RM68,385 tanpa lesen yang sah, empat tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 57 laporan berkaitan penipuan pelaburan yang mempunyai kaitan dengan syarikat Giganation GIB Berhad membabitkan kerugian RM3.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik berkata, sindiket penipuan yang aktif sejak 2017 tersebut menawarkan pelaburan pulangan tinggi melalui Facebook dan ejen syarikat.

Mangsa akan dipujuk untuk melaburkan wang dalam bidang hartanah dan dijanjikan keuntungan RM540 setiap 45 hari dan setiap 60 hari. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI