fbpx

Penganjuran DSA, NATSEC catat perolehan RM9.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (tengah), Mohamed Khaled (kanan) sewaktu Majlis Penutup DSA dan NATSEC Asia 2024 di Mitec, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perolehan berjumlah RM9.4 bilion berjaya dicatatkan menerusi penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kontrak atau urus niaga yang dimeterai sepanjang penganjuran pameran selama empat hari bermula 6 Mei itu  merupakan satu pencapaian berimpak tinggi.

Katanya, pencapaian tersebut membolehkan pelbagai perolehan aset diraih termasuk kapal pengangkut pelbagai guna, kapal induk polis dan enam helikopter.

“Perolehan ini dilihat penting dalam membantu meningkatkan aset pertahanan negara. Malah ia juga sangat bermakna untuk proses penugasan kawalan di perairan negara yang sangat luas, seterusnya menjadikan ia diurus dengan baik.

“Untuk penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2024 ini, jumlah perolehan dicapai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah sebanyak RM2.1 bilion,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup DSA dan NATSEC Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya berjaya memperoleh urus niaga kontrak dan perjanjian berjumlah RM7.3 bilion hasil penganjuran pameran tersebut.

Jelasnya, ia membabitkan masing-masing tujuh Surat Setuju Terima (LoA) bernilai RM3.3 bilion dan kontrak dengan nilai keseluruhan RM1.9 bilion.

“Empat Surat Niat (LoI) bernilai RM1.83 bilion, 10 Memorandum Persefahaman (MoU) antara pelbagai organisasi tempatan, serantau dan antarabangsa serta pemain berjumlah RM0.28 bilion serta dua Sijil Sistem Integriti Korporat Malaysia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana komitmen, kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan pemain industri pertahanan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI