fbpx

Tidak sangka abang mangsa pokok tumbang – Adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrizan tidak dapat menahan sebak ketika bercerita mengenai tragedi yang menimpa abangnya, Allahyarham Md Rizal ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – “Saya maklum mengenai berita pokok tumbang di Kuala Lumpur semalam sebab sudah ‘viral’ tetapi saya tidak sangka yang terkorban itu abang saya,”

Begitulah kata Shahrizan Atan, 38, setelah mendapat berita mengenai abangnya, Allahyarham Md Rizal Atan, 47, yang menjadi mangsa pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.

Shahrizan berkata, dia dimaklumkan mengenai berita tersebut oleh anak Allahyarham yang mengatakan bapanya sudah tidak dapat dihubungi sejak petang semalam.

“Saya difahamkan, (semalam) ada polis datang ke rumah lama arwah di Manjung, Perak untuk mencari waris, tetapi (abang) tidak ada. Jiran telah menelefon anak arwah yang kemudiannya menelefon saya.

“Ketika saya terima berita kemalangan tersebut, saya minta semua ahli keluarga bertenang dahulu.

“Sementara itu, saya akan cuba sahkan terlebih dahulu sama ada betul atau tidak itu abang saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, pada hari kejadian, Allahyarham sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang tetamu yang sedang menunggu di sebuah hotel di ibu kota.

“Pada waktu itu, jalan sangat sesak sebab hujan lebat. Selepas kemalangan, kami sekeluarga dan majikan cuba hubungi abang. Tetapi telefon tidak berangkat.

“Majikan cakap, Md Rizal (arwah) tidak pernah lambat. Tetapi pada petang itu, semua orang tidak boleh telefon abang. Rupanya, telefon arwah sudah pecah disebabkan kemalangan tersebut,” jelasnya.

Bercerita mengenai keperibadian Allahyarham, Shahrizan berkata, abangnya merupakan seorang yang sangat mengambil berat soal keluarga.

“Dia adalah abang nombor tiga daripada lima beradik. Kami semua lelaki jadi kami sangat rapat. Apa-apa mengenai urusan keluarga, kami akan berbincang.

“Semasa menguruskan ayah yang sedang sakit, abanglah yang banyak membantu kerana dia merupakan seorang pemandu peribadi,” ujarnya dalam keadaan sebak.

Menurut Shahrizan, mereka sekeluarga masih lagi dalam keadaan ralat dan bersedih dengan berita pemergian Allahyarham yang berlaku sekelip mata.

Shahrizan berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Allahyarham adalah pada Jumaat lalu ketika majlis hari raya dan doa selamat untuk bapanya.

“Pada waktu itu, abang saya demam. Dia nampak penat sebab banyak menguruskan hal berkenaan bapa saya di Hospital Shah Alam.

“Pada Hari Raya lepas pun Allahyarham ada berjumpa dengan keluarga. Tetapi dia tidak banyak bercakap sebab kami sekeluarga faham keadaan bapa kami yang masih sakit,” katanya.

Shahrizan berkata, Allahyarham bakal disolatkan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 usai solat Zohor.

Difahamkan, Allahyarham meninggalkan seorang balu bersama empat orang anak yang berusia lima hingga 19 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI