fbpx

Dortmund bimbang ‘amukan’ Mbappe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBAPPE (tengah) menjadi ancaman utama buat Dortmund menjelang aksi separuh akhir kedua UCL awal pagi esok. – AFP

PARIS – Pengendali Borussia Dortmund, Edin Terzic menyeru barisan pemain waspada de­ngan ‘amukan’ Kylian Mbappe menjelang aksi separuh akhir kedua saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium Parc des Princes awal pagi esok.

Sebagai rekod, Dortmund telah meletakkan sebelah kaki ke pentas final apabila berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas PSG pada aksi pertama di laman sendiri minggu lalu.

Menurut Terzic, kejayaan mengekang jentera serangan PSG yang diketuai oleh Mbappe adalah cabaran terbesar buat pasukannya dalam usaha mengekalkan keputusan positif nanti.

Selain itu, Terzic turut meletakkan harapan tinggi agar pemain sayap sensasi pasukan, Jadon Sancho turut tampil cemerlang bagi membantu pasukan menambahkan peluang jaringan.

“Saya rasa ancaman terbesar PSG sudah tentu menerusi Mbappe. Namun, mereka masih ada beberapa pemain berkualiti yang perlu diberi perhatian se­perti Ousmane Dembele, Goncalo Ramos, Vitinha atau Randal Kolo Muani.

“Apa yang penting semua pemain perlu berada pada tahap terbaik untuk memastikan keputusan positif dapat dikekalkan.

“Mengenai persiapan kami, saya juga berharap pemain-pemain seperti Sancho dapat meneruskan kecemerlangan seperti yang ditampilkan pada aksi pertama yang lepas,” katanya.

Sementara itu, pertahanan senior Dortmund, Mats Hummel menyeru barisan pemain untuk melupakan kemenangan minggu lalu kerana apa sahaja boleh berlaku pada baki 90 minit perlawanan nanti.

“Saya tidak tahu sama ada kita akan bertahan sepenuhnya. Namun, fokus pasukan adalah untuk mara ke pentas final dan harap semua pemain dapat beri komitmen penuh sepanjang perlawanan nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI