fbpx

Piala Thomas: China muncul juara kali ke-11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEI KENG (kanan) dan Wang Chang meraikan kemenangan ketika menyumbang mata kedua buat China pada aksi final Piala Thomas 2024 sebentar tadi. - AFP

KUALA LUMPUR – Skuad badminton China memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri apabila merangkul gelaran ke-11 pada saingan Piala Thomas 2024 yang berlangsung di Chengdu, China.

Pada perlawanan akhir di Pusat Sukan Hi-Tech Zone sebentar tadi, China membuktikan mereka layak menghuni kedudukan No.1 dunia apabila berjaya membenam juara 14 kali, Indonesia dengan keputusan 3-1.

Perseorangan No.2 dunia, Shi Yu Qi mengekalkan aksi cemerlang pada kejohanan dwitahunan itu apabila menghadirkan mata sulung China menerusi kemenangan mudah 21-17, 21-6 ke atas Anthony Ginting dalam tempoh 43 minit.

Terdahulu, dalam aksi separuh akhir bertemu Malaysia semalam, Yu Qi mencatat keputusan hampir serupa ketika menentang Lee Zii Jia apabila menang 21-19, 21-5.

Indonesia yang tersentak dengan kekalahan awal itu cuba merapatkan kedudukan menerusi beregu, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, namun dinafikan Liang Wei Keng-Wang Chang apabila tewas 18-21, 21-17, 17-21 untuk mata kedua China.

Bagaimanapun, juara Asia, Jonatan Christie kembali merapatkan kedudukan 2-1 selepas berhempas pulas menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia, Li Shi Feng 21-16, 15-21, 21-17.

Beregu kedua China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu menjadi wira pasukan itu apabila memastikan kejuaraan menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan 21-11, 21-15 ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam tempoh 38 minit.

PEMAIN-PEMAIN wanita China meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Uber selepas menewaskan Indonesia di perlawanan akhir. – AFP

Sementara itu, dalam saingan Piala Uber, China menepati ramalan apabila muncul juara selepas turut menewaskan Indonesia 3-0, sekali gus menjadi gelaran ke-16 mereka dalam sejarah kejohanan tersebut.

China bermula langkah kanan pada aksi final yang berlangsung pagi tadi apabila perseorangan No.2 dunia, Chen Yu Fei menewaskan Gregoria Mariska Tunjung 21-7, 21-16.

Gandingan beregu, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan memastikan Indonesia mendahului 2-0 menerusi kemenangan 21-11, 21-8 ke atas Siti Fadia Silva Ramadhanti-Ribka Sugiarto sebelum He Bing Jiao melengkapkan kemenangan menewaskan Ester Nurumi Tri Wardoyo 10-21, 21-15, 21-17. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI