MADINAH – Sesi lawatan jemaah haji ke tempat bersejarah anjuran Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu digunakan sebaik mungkin bagi menghayati kisah Rasulullah SAW.
Malah, ada antara kawasan yang dilawati menjadi lubuk pahala untuk jemaah haji ketika berada di Madinah nanti.
Itu antara pesanan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas), Khairul Anwar Hasan yang berharap program tersebut memberi manfaat sebaiknya kepada semua jemaah dan petugas haji.
“Sebagai contoh ketika sesi ziarah di Masjid Quba. Jemaah haji perlu tahu bahawa sesiapa yang pergi ke sini dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat dalam masjid berkenaan, ganjarannya adalah satu pahala umrah.
“Itu antara kelebihannya apabila ziarah ke sini. Sejarahnya juga terlalu panjang. Yang pasti ia masjid pertama dibina dalam Islam. Jadi jemaah perlu gunakan peluang sebaiknya,” katanya ketika mengadakan ziarah di kawasan berkenaan semalam.
Lebih 160 petugas haji terdiri daripada kakitangan perubatan, petugas media dan petugas Tabung Haji telah diberi peluang melawat kawasan berkenaan yang turut menjadi sebahagian tentatif jemaah haji nanti.
Selain Masjid Quba, kawasan lain yang dilawati termasuklah Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, ladang kurma dan Masjid Tujuh atau turut dikenali sebagai Masjid Sab’ah.
Dalam pada itu, seorang lagi Pihtas, Mahmad Zukri Mad Hassan berkata, jemaah dan petugas turut mendapat iktibar lain yang boleh dijadikan panduan pada masa akan datang.
“Kita boleh mengambil iktibar bahawa masjid sangat penting dalam Islam. Di samping kita nak dapat fadilat, kita perlu tahu peranan masjid itu sendiri. Bukan sahaja jemaah bahkan semua petugas juga kita berikan pemahaman,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














