fbpx

Lee Zii Jia sukar jelaskan kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA tewas mudah 5-21 di set kedua kepada Yu Gi sewaktu Malaysia tumbang 1-3 kepada China di separuh akhir semalam. - AFP

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sukar untuk menjelaskan apa yang berlaku ketika tewas 19-21, 5-21 kepada pemain China, Shi Yu Qi pada aksi separuh akhir saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China semalam.

Kekalahan awal yang dialami Zii Jia dianggap menjadi salah satu punca Malaysia gagal melangkah ke perlawanan akhir apabila pasukan negara terpaksa akur tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah itu.

Zii Jia berkata, situasi dihadapinya itu seolah-olah sama seperti dialami pemain Jepun, Kenta Nishimoto ketika tewas 13-21, 3-21 kepadanya pada aksi suku akhir yang berlangsung Khamis lalu.

“Jika saya menang set pertama, situasi mungkin berbeza, tetapi kadang-kadang ia tidak berlaku seperti kita mahukan. Secara jujur, bukan mudah untuk tewaskan Yu Qi kerana dia pun berada di ranking No.2 dunia.

“Situasi seperti ini boleh berlaku secara mengejut dan ia sama sewaktu saya bertemu Kenta (Nishimoto). Dia berdepan situasi yang sama seperti saya, namun rumit untuk saya jelaskan,” kata bekas pemenang All England itu.

Kekalahan itu turut menyaksikan Zii Jia sudah merekodkan lima kekalahan kepada naib juara dunia 2018 tersebut, manakala hanya mencatat satu kemenangan dalam enam pertemuan setakat ini.

Sementara itu, Zii Jia juga menjelaskan, corak permainannya sangat berbeza ketika tewas di set kedua dan sedia untuk memperbaiki kelemahan tersebut sebaik sahaja pulang ke tanah air nanti.

“Secara keseluruhan, saya bermain sangat baik di set pertama tetapi memasuki set kedua, rasa seperti bukan diri sendiri. Ini adalah satu masalah yang perlu diperbetulkan apabila balik nanti,” ujarnya.

Sebaik tiba di Malaysia nanti, Zii Jia memiliki masa lebih kurang dua minggu untuk melakukan persiapan menjelang kejohanan Malaysia Masters yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 21 hingga 26 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI