fbpx
TIGA dekad bergelar penyanyi, Ziana Zain tidak berkecil hati sekiranya tidak popular dalam kalangan generasi muda hari ini. Bahkan, dia selesa dengan semua dimiliki selain sibuk dengan persiapan konsert solo yang berlangsung akhir bulan ini.

Tak perlu beli, bayar peminat – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMANYA cukup gah, tiada yang mampu menggantikan dirinya sehingga hari ini.

Itu sudah cukup untuk menggambarkan sosok seorang Ziana Zain yang merupakan antara penyanyi disenangi dan disegani ramai sejak tiga dekad lalu.

Satu hal harus dipuji, keramahan dan kerendahan hati dan sikap ‘membumi’nya yang sehingga hari ini menjadi antara faktor, namanya masih utuh dalam industri seni tanah air.

Pada usia 56 tahun, jika kebanyakan wanita mungkin memilih memperlahankan karier, berehat, melayan dan menjaga keluarga di rumah tetapi sebaliknya dilakukan Ziana.

Dia kini sibuk mencari jalan untuk memiliki sebuah kehidupan yang penuh bermakna, termasuk bersiap-siaga menjelang konsert solo di Mega Star Arena, Sungei Wang pada 25 Mei depan.

Ziana pada awalnya mengakui penglibatan sebuah konsert pada usianya ketika ini adalah kerja gila, tenaganya pasti tidak serancak seperti dahulu.

Namun, demi kasih dan sayang kepada peminat, pelantun lagu itu enggan membiarkan semangatnya pudar. Dia mengumpul keyakinan tinggi apatah lagi mendapat dukungan daripada kelab peminatnya, Zianafolks.

Tidak memiliki jutaan pengikut dalam Instagram, Ziana tetap bersyukur dan berasa cukup dengan setiap sokongan peminat yang ada ketika ini.

 

“Memang kita tidak boleh nak jangkakan tenaga kita pada usia 56 tahun ini akan sama seperti usia umur 20-an. Bila sudah semakin berusia, vokal akan menjadi semakin bulat dan suara pun menjadi lebih serak.

“Namun, konsert ini diadakan demi kerinduan kepada peminat.

“Lagu-lagu yang akan dimainkan pada hari tersebut juga dipilih oleh peminat, setiap inci konsert itu sangat bermakna,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Kurang sebulan lagi, pemilik nama penuh Siti Roziana Zain itu berkata, tiada gimik mahupun persembahan aneh akan dilakukan pada malam 25 Mei nanti.

Sebaliknya, durasi selama tiga jam akan dipadatkan dengan coleteh dan rangkuman kisah perjalanan hidupnya.

“Saya akan tampil dengan konsep yang menceritakan kronologi hidup yang dilalui seorang Ziana Zain.

TIADA medley! Itu janji Ziana untuk peminat yang bakal hadir menyaksikan konsert solonya pada 25 Mei nanti.

“Paling istimewa, lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan dan semuanya berdurasi penuh, tiada medley kerana mahu beri kepuasan kepada pembeli tiket,” ujarnya.

Ziana mengakui terbuka menerima kehadiran peminat dalam kalangan generasi muda pada konsert itu nanti.

Ujarnya, kehadiran penonton muda sangat bermakna kerana membawa aura baharu pada konsert tersebut.

“Tidak dinafikan saya ada peminat dalam golongan muda dan juga kanak-kanak.

“Bagi saya ini petanda yang bagus kerana bukan senang nak dapat peminat baru yang seusia dengan anak-anak saya,” katanya.

Meskipun sudah lebih tiga dekad menempa nama dalam industri hiburan, Ziana tidak akan sesekali mengejar untuk meraih jutaan jumlah pengikut Instagram.

Baginya, pengikut sedia ada dalam Instagram adalah peminat tulen kerana tidak pernah hadir dengan imbuhan atau dibeli dengan wang ringgit.

“Itu adalah peminat saya yang tulen kerana saya tidak beli dan tidak bayar hanya semata-mata untuk berdiri di sini.

“Bagi saya, ketulenan dan kualiti peminat penting kerana mereka yang menyokong waktu saya baru membina nama dalam industri sehingga kini,” tutur bintang Maria Mariana itu.

MENGAKUI kudrat usia 56 tahun pasti tidak serancak sewaktu 20 atau 30-an, Ziana menjanjikan sebuah persembahan terbaik untuk konsert solonya di Mega Star Arena, Sungei Wang nanti. – M Firdaus M Johari

Kehidupan solo

Sempat ditanya kehidupan sebagai ibu tunggal, Ziana mengakui lebih selesa menjalani kehidupan sedia ada, tidak terdetik lagi soal mendirikan rumah tangga buat kali kedua lagi.

Banyak persoalan bermain dalam kepalanya, namun dia tidak akan melenting ketika ditanya mengenai pasangan hidup baharu.

“Saya sudah selesa berada pada tahap ini, rakan-rakan juga persoalkan tetapi untuk masa sekarang ini memang tidak berfikir mengenai jodoh baharu.

“Kini saya lebih memikirkan tentang kelangsungan kerjaya dan keluarga.

“Anak-anak juga sedang membesar, ada yang masuk universiti, jadi saya ingin lebih fokus perkara yang penting,” kongsinya.

Enggan terlalu ego, dia bagaimanapun menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.

Buat masa ini, biarlah kehidupan didepani dengan penuh ketenangan.

“Soal jodoh itu saya tidak fikir, hanya serahkan kepada Allah SWT tetapi kadang-kadang perkara kita tolak yang akan hadir.

“Jadi, tenang sahaja buat masa ini, kalau boleh hidup solo selamanya pun okey sahaja,” tutup ibu kepada empat orang anak itu optimis.

BUKAN tidak pernah puas dengan dunia glamor yang dikecapi sejak tiga dekad lalu, Ziana hanya mahu terus menyara dan meladeni hidup dengan gembira bersama keluarga dan peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN