fbpx

Misi runtuhkan ‘Tembok Besar’ China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA akan turun dengan status underdog berdepan China di separuh akhir Piala Thomas hari ini. - AFP

PEMAIN-PEMAIN badminton negara dinasihatkan supaya tidak terlalu gembira meskipun sudah melangkah ke separuh akhir Piala Thomas 2024 yang sedang berlangsung di Chengdu, China.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pasukan negara masih memiliki tugas yang belum selesai bagi memecahkan ‘Tembok Besar’ apabila berdepan pasukan tuan rumah, China hari ini.

Justeru, beliau menggesa anak-anak buahnya supaya tidak terlalu meraikan kejayaan menjadi empat terbaik kerana misi berdepan China yang merupakan pasukan No.1 dunia bukanlah satu tugas mudah.

“Pertemuan dengan China, perseorangan mereka sangat kuat, manakala persaingan untuk beregu adalah seimbang. Kita perlu gunakan kelebihan turun tanpa tekanan kerana kita datang hanya untuk tampilkan aksi terbaik.

“Pemain-pemain perlu kekal merendah diri, jaga pemakanan serta mendapatkan rehat secukupnya untuk kita melakukan persiapan menjelang aksi separuh akhir nanti,” kata pengendali dari Indonesia itu.

Berdasarkan rekod pertemuan, China memiliki kelebihan ke atas Malaysia apabila mencatat kemenangan dalam kesemua empat perlawanan terdahulu dengan kali terakhir tewas 0-3 pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu.

Selain itu, Rexy menjelaskan, pencapaian kali ini lebih baik jika dibandingkan edisi terdahulu di Bangkok, Thailand dua tahun lalu apabila Malaysia tersingkir di suku akhir selepas tewas 2-3 kepada India.

“Layak ke separuh akhir selepas kali terakhir melakukannya pada 2016 merupakan satu perkara positif selepas tersingkir di suku akhir pada 2022. Bagaimanapun, saya mahu pemain-pemain ambil pendekatan langkah demi langkah,” ujarnya.

Sebagai rekod, Malaysia melangkah ke separuh akhir selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di suku akhir malam kelmarin sementara China menang 3-1 ke atas juara bertahan, India.

Kali terakhir Malaysia mendakap trofi teragung itu adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2 di perlawanan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI