PADA tahun 2012, kehidupan wanita cekal kelahiran Kuala Lumpur ini berubah 360 darjah.
Kegembiraannya menunaikan ibadah umrah pada waktu itu bertukar hiba tatkala mendapat tahu ada barah menumpang dalam badannya.
“Saya disahkan menghidap kanser endometrium (dinding rahim) tahap 1B pada Mac 2012.
“Disebabkan itu, saya terpaksa menjalani pembedahan histerektomi dan radioterapi.
“Saya mendapat tahu tentang kanser ini secara tidak sengaja. Waktu itu saya menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengerjakan umrah.
“Sehari sebelum berangkat ke Mekah, keputusan biopsi dan doktor telah mengesahkan saya menghidap kanser tersebut,” ujar wanita berusia 55 tahun itu kepada Aura.
Menurut pemilik nama lengkap Zuraini Kamal, pada ketika itu, dia menguatkan semangat untuk tetap pergi menunaikan umrah seperti biasa, walaupun dalam isi hatinya hanya Tuhan yang tahu.
Sekembalinya daripada menunaikan umrah, dia terus dimasukan ke wad untuk menjalani pembedahan pertama di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
“Selepas itu, saya menyambung rawatan radioterapi sebanyak 25 kali di Hospital Mount Miriam, Pulau Pinang.
“Setiap minggu saya akan memandu kereta ke Pulau Pinang dari Kedah untuk menjalani rawatan selama hampir tiga bulan tanpa culas.
“Apa yang memberi saya semangat untuk terus menjalani rawatan dan menempuhi ujian ini adalah kerana status saya.
“Ketika itu, saya adalah ibu tunggal yang mempunyai tiga anak masih bersekolah,” katanya.
Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia bersyukur kerana dengan kehendak dan izin-Nya, penyakit kanser tersebut berjaya pulih.
Kini, dia kembali menjalani hidup normal dan bebas daripada kanser selepas lima tahun berjuang.
Katanya, ketika diuji dengan penyakit berkenaan, dia seorang yang suka berkongsi pengalaman hidup dan perjalanan penyakitnya dengan orang lain.
Niat Zuraini hanya satu iaitu berkongsi pengalaman dan membantu pihak lain yang menghidap kanser supaya mereka terus cekal menempuh ujian Tuhan.
Menerusi perkongsian perjalanan penyakitnya di dalam Facebook dan blog, terdapat permintaan daripada rakan-rakan pengikutnya (followers) supaya dia menubuhkan sebuah persatuan.
Disebabkan itu, tertubuhlah sebuah kumpulan sokongan pesakit kanser dengan nama Cancer Survivors Malaysia (CSM).
“Pada tahun 2012, kumpulan sokongan pesakit kanser belum wujud di Kedah.
“Malah, jumlahnya sangat terhad di negara ini.
“Pesakit juga malu untuk bercerita tentang kanser kerana masyarakat masih menganggap ia adalah hukuman Tuhan kepada seseorang di atas dosa yang pernah dilakukan.
“Malah, pada ketika itu, ramai yang mengaitkan penyakit kanser dengan santau atau sihir.
“Alhamdulillah, penubuhan CSM telah lebih sedekad. Kami juga telah membantu lebih daripada 10,000 pesakit kanser melalui pelbagai cara,” katanya.
Ujar Zuraini, pihaknya bukan sekadar membantu dari segi kewangan, malah menolong membaik pulih lebih daripada 50 buah rumah pesakit kanser asnaf.
Selain itu, CSM menyalurkan bantuan sebanyak 150 kerusi roda dan makanan kering kepada 2,000 pesakit pada setiap tahun.
“Tidak setakat itu, kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyalurkan bantuan projek wakaf katil hospital.
“Projek wakaf itu telah memanfaatkan lebih 100 pesakit kanser paliatif pada setiap tahun.
“Pelbagai bantuan lain turut kami berikan seperti susu, lampin pakai buang, beg stoma dan lain-lain mengikut keperluan pesakit,” katanya.

Ditebak mengenai pengalaman yang paling sukar dilupakan sepanjang mengendalikan CSM, Zuraini pernah menguruskan satu kes di mana seorang ibu tunggal dua anak yang didiagnosis penyakit kanser payudara.
“Ibu tunggal ini tidak ke hospital untuk rawatan kerana mahu bekerja bagi menyara anak-anaknya.
“Malangnya, keadaan kanser payudaranya semakin membesar dan pecah. Saya pernah mengelap luka kansernya ketika menziarahi pesakit berkenaan.
“Ketika itu, pesakit terbabit menangis di hadapan saya dan menyesali tindakannya kerana tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Akhirnya, ibu tunggal itu meninggal dunia pada 2021.
“Kisah arwah sentiasa saya kongsikan kepada pesakit kanser lain sebagai usaha memberikan kesedaran kepada mereka mengenai pentingnya mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambahnya, merawat penyakit kanser merupakan satu perjalanan panjang yang merangkumi rawatan perubatan dan sokongan moral.
Berkongsi mengenai cabaran, penerima anugerah Ikon Badan Kebajikan (NGO) Negeri Kedah 2024 ini memberitahu, meskipun sudah 12 tahun ditubuhkan, namun masih terdapat beberapa cabaran terutama bagi mendapatkan dana membantu pesakit.
Katanya, saban tahun jumlah pesakit kanser di negara ini semakin meningkat dan diramalkan bilangannya akan bertambah dua kali ganda pada tahun depan.
Justeru, dana mencukupi sangat diperlukan untuk membantu lebih ramai pesakit kanser.
Katanya, cabaran lain yang dihadapi adalah 90 peratus pesakit yang diziarahi CSM menghidap kanser tahap akhir.
“Mereka ini perlu dibantu kerana terdapat pesakit lewat didiagnosis, lewat ke hospital untuk rawatan, enggan ke hospital dan tidak mahu menjalani rawatan.
“Satu lagi cabaran, kebanyakan pesakit ini tidak mempunyai ilmu mengenai penyakit kanser dan rawatan.
“Baru-baru ini, saya menziarah seorang pesakit yang enggan ke hospital untuk rawatan, sebaliknya memilih rawatan bomoh.
“Banyak wang telah dihabiskan bagi tujuan itu, namun keadaan kesihatannya semakin teruk,” ujarnya.
Katanya, ramai juga dalam kalangan ibu tunggal tidak mahu ke hospital untuk menjalani rawatan kerana tiada siapa menguruskan anak-anak kecil di rumah.
Tambahnya, ramai juga isteri yang ditinggalkan suami selepas mereka disahkan menghidap kanser dan akhirnya hidup semakin melarat sebelum pergi menemui Pencipta.
Ditanya mengenai perancangan CSM, Zuraini berkata, pertubuhan itu telah mendapat pengiktirafan daripada Union International Cancer Control (UICC) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland sebagai NGO aktif.
Kata Zuraini, CSM baru sahaja bermesyuarat dengan Kerajaan Negeri Kedah dan mereka diberi kepercayaan untuk menguruskan suntikan vaksin virus papiloma manusia (HPV) untuk 21,000 belia wanita B40 di negeri Jelapang Padi.
“Projek ini bernilai RM9 juta dan saya baru sahaja menyusun jadual suntikan untuk setiap daerah dalam 12 parlimen di negeri ini.
“Ini projek utama CSM sebagai usaha advokasi (kesedaran) kanser kerana kanser pangkal rahim boleh dicegah sekiranya wanita muda menerima suntikan vaksin HPV.
“Tidak setakat itu, CSM juga aktif menganjurkan wacana bertajuk ‘Aku Ingin Hidup’ sepanjang tahun.
“Wacana ini bakal menemui pesakit pada 18 Mei di Alor Setar dan 13 Julai di Bangi, Selangor,” katanya mengakhiri perbualan.
















