PETALING JAYA – Lambakan senjata api seludup dari negara jiran dikhuatiri akan menyebabkan negara ini menjadi pusat aktiviti jenayah sekiranya kegiatan haram tersebut tidak dikawal dengan kadar segera.
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, dua kes terbaharu pemilikan senjata api oleh dua individu termasuk warga Israel baru-baru ini merupakan bukti jelas betapa mudahnya senjata tersebut dimiliki oleh orang awam.
Shahul Hamid melahirkan rasa bimbang dengan situasi itu yang boleh diibaratkan seperti membeli ikan di pasar.
“Lebih membimbangkan, penyeludupan senjata api secara berterusan boleh mendorong kepada wujudnya kem pengganas yang berkampung di negara ini secara rahsia.
“Kumpulan pengganas atau penjenayah memerlukan senjata api. Jika ia mudah dibawa masuk, sindiket sudah pastinya akan berada di sini untuk melicinkan kegiatan mereka.
“Pergerakan mereka mungkin tidak menonjol kerana tidak dilakukan secara terang-terangan di khalayak. Mungkin mereka simpan senjata api bersama setiap masa sebagai langkah mempertahankan diri.
“Selain itu, penjenayah mempunyai rangkaian di luar negara. Mereka menjadi ‘mata-mata’ dalam menyampaikan maklumat mengenai negara kita kepada rangkaian tertentu,” katanya.
Shahul Hamid memberitahu, kewujudan kumpulan itu tidak boleh dipandang enteng kerana ia memberi ancaman kepada keselamatan negara.
“Mereka akan bertindak secara rambang sekiranya diancam. Kita boleh lihat kes tembakan di KLIA yang mana lelaki itu tiada kemahiran menembak apabila melontarkan mercun bola sebelum melepaskan tembakan,” ujarnya.
Shahul Hamid berkata, berdasarkan pemerhatiannya sejak lebih setahun lalu, enam daripada 10 perompak atau penjenayah di negara ini menggunakan senjata api.
“Keadaan ini menunjukkan situasi penggunaan senjata api tanpa lesen di negara ini berada pada tahap membimbangkan.
“Senjata saiz kecil jadi pilihan seperti Glock dan Revolver .38 yang boleh memuatkan lima hingga 25 butir peluru dalam satu-satu masa.
Shahul Hamid menjelaskan, selain penggunaan senjata api dalam kalangan penjenayah, pihak berkuasa juga harus memantau individu yang menyimpan pistol di rumah atau premis perniagaan.
Beliau tidak menafikan ada orang awam yang menyimpan senjata api secara haram yang mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan.
“Penyeludupan senjata api perlu dibanteras dari peringkat awal iaitu di sempadan negara tidak kira di Kelantan atau Kedah. Sempadan negara merupakan ‘titik mula’ kepada segala kegiatan penyeludupan.
“Jadi, segala penguatkuasaan perlu dimulakan di sana sebelum senjata api seludup terlepas ke negeri-negeri lain sekali gus terdedah kepada kegiatan jenayah,” katanya.















