DIA bukan sesiapa, bukan selebriti, pempengaruh atau figura suri teladan. Namun, hanya dengan satu pendedahan menerusi Instagram pada 21 April lalu, namanya sohor kini sekelip mata.
Menjadi sorotan ramai, dia yang mengaku kekasih kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz semakin ghairah melondehkan satu persatu aib diri dan skandal buah hatinya dengan pelakon Ruhainies yang disertakan pelbagai bukti dalam media sosial.
Tidak hanya itu, sosok wanita kelahiran Singapura yang memperkenalkan diri sebagai Sarah Yasmine itu turut bertindak berani ‘mengheret’ ramai selebriti termasuk Emma Maembong dan adiknya, Chacha, Caprice, Sophia Albarakbah serta Meerqeen.
Pendek kata, atas dasar cinta dan simpati terhadap sang kekasih yang teruk dihentam selepas isu tangkap khalwat, dia berjaya menghuru-harakan industri hiburan tanah air.
Sudah hari ke-11, kontroversi itu masih hangat diperkatakan, bahkan saat artikel ini ditulis, ‘perang saraf’ antara Sarah dan Ruhainies masing berlangsung dalam media sosial.
Hakikatnya apa yang berlaku ini sangat tidak sihat. Lebih membimbangkan, ia dicetuskan wanita yang menjalin hubungan dengan suami orang.
Dalam erti kata lain, dia juga ‘penyondol’. Meski mengakui kesilapan diri, perlu diingat apa yang diketengahkan itu adalah isu peribadi yang sewajarnya diselesaikan secara tertutup. Biar apapun alasannya, niat tidak menghalalkan cara.
Canang menerusi laman sosial bukan cara terbaik kerana impaknya sangat besar tidak hanya kepada empunya diri dan individu terheret sama dalam ‘drama’ cinta terlarang itu, tetapi juga buat semua yang mengikuti isu itu khususnya mereka bawah umur yang belum cukup matang untuk membezakan mana baik dan sebaliknya.
Ingatlah, Islam melarang kita membuka aib diri apatah lagi pasangan dan orang lain. Justeru, perlu ada rasa malu dalam diri kerana itu antara cabang iman dan dapat menghindari kita daripada melakukan perkara ditegah Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya dalam sabdanya: “Sesungguhnya rasa malu dan keimanan, kedua-duanya dijadikan sepasang. Jika salah satunya dihilangkan, yang lain juga dihilangkan.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah, cukup-cukuplah segala pembuktian dan diharap Sarah dapat menyelesaikan perkara ini secara tertutup dengan menggunakan saluran yang betul.
Bukan media sosial, bukan ‘mencuit’ industri hiburan Malaysia hingga menjejaskan reputasi banyak pihak. Ini mungkin kedengaran tidak adil buat dirinya, namun ada 1,001 hikmah menanti jika Sarah dan semua yang terlibat memilih menyelesaikan isu itu secara matang.
Lindungi maruah dan kehormatan diri kalian. Apa yang berlaku, sudah pun terjadi dan tidak boleh diubah, namun sebagai manusia yang waras dan cukup akal kalian boleh memilih jalan penyelesaian yang lebih baik.
Adakah berbaloi kalian ‘berjuang’, bertekak hanya kerana seorang lelaki bernama Aliff Aziz? Berbaloikah diri menjadi bahan tawa dan kritikan netizen?
Fikir-fikirkanlah.














