fbpx
Gambar hiasan

Pekerja tak harap bonus berbulan untuk rasa dihargai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASIL laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dianggarkan terdapat kira-kira 16.73 juta orang pekerja di negara ini bagi suku kedua tahun lalu.

Golongan tersebut bukan sahaja penting dan menjadi tulang belakang kepada sesebuah syarikat, malah mereka juga merupakan penggerak utama kepada ekonomi negara.

Justeru, golongan pekerja wajar dilayan sebaik mungkin bagi memastikan syarikat terus berdaya maju, sekali gus menjadikan ekonomi negara terus makmur.

Menurut kajian pakar, apabila seseorang itu gembira bekerja di satu-satu syarikat, mereka akan memberikan khidmat terbaik kepada organisasi.

Malangnya, tidak banyak syarikat di negara ini yang memberi layanan terbaik dan menghargai setiap pekerja.

Misalnya, apabila sesebuah syarikat mencatatkan keuntungan, kredit hanya diberikan kepada majikan kerana bijak membuat dasar. Sebaliknya, sumbangan para pekerja akan dipandang sepi.

Namun, jika syarikat mencatatkan kerugian teruk, pekerja merupakan golongan pertama yang akan dipersalahkan kerana gagal memenuhi kehendak atau matlamat ditetapkan oleh majikan.

Sementara itu, ada juga majikan memberi layanan dingin terhadap pekerja mereka, walaupun staf berkenaan sudah menyiapkan tugasan seperti diharapkan.

Contohnya, majikan tidak memberi sebarang kredit kepada pekerja yang berjaya menyiapkan tugasan dengan cemerlang.

Sebenarnya, golongan pekerja bukan mengharapkan pujian melambung atau anugerah untuk rasa lebih dihargai, sebaliknya cukup sekadar majikan melayan mereka dengan penuh rasa hormat.

Antara usaha yang boleh dilakukan majikan bagi menghargai para pekerja adalah dengan memberi inisiatif apabila mereka berjaya menyiapkan sesuatu tugasan.

Terdapat pelbagai inisiatif boleh diberikan kepada para pekerja seperti memberi baucar makan percuma dan baucar beli-belah bagi menghargai tugas cemerlang mereka.

Untuk makluman, inisiatif ini tidak semestinya kenaikan gaji atau bonus berbulan-bulan. Ini kerana, kebanyakan pekerja sedar kemampuan kewangan syarikat.

Pekerja juga akan rasa lebih dihargai sekiranya majikan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi idea di dalam bilik mesyuarat bagi memajukan lagi syarikat.

Banyak majikan sering memandang sepi idea-idea yang diberikan oleh pekerja kerana menganggap golongan tersebut tidak layak untuk berbuat demikian.

Penulis juga dapati, ada majikan yang awal-awal lagi suka memandang negatif idea pekerja mereka dengan memberi pelbagai maklum balas negatif, sedangkan ia belum lagi dilaksanakan.

Hakikatnya, golongan pekerja lebih mengetahui perjalanan kerja di bawah dalam sesebuah syarikat berbanding majikan yang hanya menghabiskan masa di dalam bilik berpendingin hawa.

Justeru, sempena Hari Buruh pada hari ini, penulis berharap golongan pekerja terus bersemangat untuk menabur bakti di tempat mereka berkhidmat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN