RANTAU PANJANG – Kawalan keselamatan di sepanjang tebing Sungai Golok, di sini terus dipertingkatkan termasuk pemantauan ke atas pangkalan-pangkalan haram yang sering digunakan oleh penduduk untuk berulang-alik ke sempadan negara jiran.
Tindakan keselamatan itu dibuat susulan insiden letupan bom dan berbalas tembakan di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand kelmarin.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, beberapa pangkalan haram sekitar Jeram Perdah, Tersang dan Lubok Gong turut sunyi daripada sebarang aktiviti serta pergerakan bot.
Seorang penduduk di Lubok Gong, Rohaya Dollah, 40, berkata, setakat ini penduduk tidak dibenarkan untuk turun ke sungai termasuk bagi tujuan memasang pukat.
“Sejak hari kejadian pada Isnin, ramai polis mula membuat rondaan di tebing Sungai Golok di sebelah Thailand.
“Penduduk juga tidak dibenarkan turun ke sungai atas faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubok Gong, di sini semalam.
Rohaya memberitahu, rondaan Pasukan Gerakan Am (PGA) juga kerap dilakukan di kawasan itu bagi memantau keselamatan penduduk di sempadan.
Dalam pada itu, pengusaha bot tambang dikenali Harun berkata, meskipun kawalan keselamatan dipertingkatkan, beberapa pangkalan haram di pekan Rantau Panjang telah digunakan semula oleh penduduk.
Katanya, antara pangkalan haram tersebut adalah di pangkalan Gergaji, pangkalan Paun, pangkalan Tok Awang, Che Kasim dan Pohon Jambu.
“Pangkalan haram yang beroperasi ini berada agak jauh dari lokasi insiden letupan bom dan berbalas tembakan,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, insiden letupan bom dan berbalas tembakan itu mengakibatkan empat anggota polis Thailand di Balai Polis Sungai Golok, Wilayah Narathiwat cedera.
Sumber memaklumkan, keempat-empat anggota polis itu berada dalam keadaan stabil susulan kejadian tersebut.
“Difahamkan, kumpulan (penyerang) terbabit memang menyasarkan anggota keselamatan Thailand yang berada di balai polis tersebut,” katanya.














