fbpx
MOHD. KHALID di rumahnya di Jalan Klana 2, Lenggeng, Seremban baru-baru ini.

Warga emas hidap tibi, diabetes dibantu adik urus diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Walaupun serba kekurangan, seorang warga emas tetap tabah menjalani baki perjalanan hidupnya di rumah pusaka milik keluarga di Lenggeng di sini.

Mohd. Khalid Hamzah, 73, yang menghidap penyakit tuberkulosis (tibi) dan kencing manis itu memberitahu, perge­rakannya kini terbatas dan hanya mengharapkan bantuan adiknya, Mohd. Arif, 60, dari segi penjagaan sehariannya.

Katanya, Mohd. Arif sebelum ini menetap di tempat lain, namun sanggup datang tinggal bersama semata-mata untuk menjaga­nya.

“Dia juga tidak berkahwin seperti saya, jadi kami mengambil keputusan tinggal bersama di rumah pusaka ibu ini bagi menjalani baki kehidupan walaupun hidup dalam serba kekurangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Klana 2, Lenggeng di sini baru-baru ini.

Katanya, kehidupannya bertambah perit kerana tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada wang simpanan.

Katanya, sebelum ini dia tinggal berseorangan di rumah u­sang itu selepas ibunya me­ninggal dunia pada 2009.

“Dahulu saya yang menjaga ibu dan berkorban meninggalkan kerjaya sebagai seorang tukang masak di Kuala Lumpur pada tahun 2000 demi menjaga ibu di kampung.

“Tapi apabila sudah balik kampung saya tidak pandai melakukan kerja-kerja kampung dan hanya memberikan khidmat masakan bila diperlukan.

“Makin lama apabila kudrat tidak mengizinkan dan menghidap penyakit tibi, saya langsung tidak mampu menjalankan apa-apa jenis pekerjaan.

“Hanya bergantung kepada wang simpanan sahaja tetapi lama-kelamaan makin ‘menipis’.

“Nasib baik ada adik membantu tinggal menjaga saya di sini, namun pendapatan dia juga tidak menentu,” katanya.

Mohd. Khalid memberitahu, dia sebelum ini ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun bantuan itu telah dipotong sejak Januari lalu.

“Ini disebabkan saya tidak mampu untuk memenuhi janji temu diberi kerana menghadapi masalah pengangkutan, begitu juga janji temu di klinik.

“Disebabkan itu juga, kesihatan terjejas dan mengalami semput. Berjalan pun pakai tongkat kerana tidak mampu bergerak laju. Apabila berba­ring, baru nafas lega sedikit,” katanya.

Mana-mana pihak terma­suk yang mahu membantu dan memberikan sumbangan, boleh menyalurkannya ke nombor akaun bank 0510829000047682 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Mohd. Khalid Hamzah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN