fbpx

Piala Thomas : Malaysia kempunan benam Denmark 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan persembahan terbaik di Piala Thomas, hari ini. SABRI HASSAN/BAM

KUALA LUMPUR – Biarpun tewas terhadap Denmark, pasukan badminton negara tetap mempamerkan aksi terpuji mereka di Piala Thomas 2024 di Chengdu, China selepas mencatat kekalahan tipis 2-3 sekali gus mara ke peringkat suku akhir sebagai naib juara Kumpulan D.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan D tersebut, pasukan negara memulakan saingan dengan langkah kiri selepas jaguh perseorangan, Lee Zii Jia tewas straight set 16-21, 22-24 ketika berdepan pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen.

Bagaimanapun, kegagalan Zii Jia berjaya ditebus beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas bangkit memberi ‘nyawa’ buat skuad Piala Thomas negara dengan membenam gandingan No. 4 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Biarpun berdepan tentangan sengit gandingan Denmark tersebut, Aaron-Wooi Yik berjaya menyerap tekanan sebelum agresif mencatat kemenangan 17-21, 21-17, 21-16 dalam tempoh 63 minit sekali gus menyamakan kedudukan 1-1 .

Ketika Malaysia mencari mata penting, pemain ranking No. 4 dunia, Anders Antonsen berjaya menggagalkan usaha kem negara apabila membantu Denmark kembali di hadapan sejurus mengatasi pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao.

Antonsen yang memegang status selaku juara Terbuka Malaysia 2024, menewaskan Jun Hao dengan kemenangan straight set 21-14, 21-10 dalam tempoh 41 minit sekali gus membantu Denmark mendahului perlawanan itu dengan keputusan 2-1.

Kekalahan Jun Hao nyata tidak mematahkan semangat beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila melakukan kejutan mengatasi gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard sekali gus berjaya meraih mata penyamaan 2-2 .

Pasangan negara itu yang turun selaku naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) menampilkan persembahan cukup menyakinkan sebelum mengatasi gandingan ke-18 dunia tersebut dengan keputusan 23-21, 22-20 dalam tempoh 50 minit.

Lebih manis, ia adalah kemenangan pertama gandingan negara itu terhadap Kjaer-Sogaard.

“Hari ini kita main agak baik dan ada sedikit peningkatan terutama emosi kita terutama sebab kita tewas pada set pertama. Jadi sebagai pemain senior kita cuba untuk tenangkan diri dan fokus keluar untuk mencari kemenangan,” kata Aaron ketika bersaing di Pusat Sukan Hi-Tech itu.

Sementara itu, perseorangan ketiga negara, Justin Hoh kempunan untuk membantu negara melakar kemenangan ke atas Denmark selepas tewas 13-21, 21-19, 13-21 ketika berdepan pemain ranking No. 26 dunia, Rasmus Gemke.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Justin apabila pemain yang berada di ranking ke-233 dunia tersebut memperagakan persembahan cukup baik pada setiap set perlawanan.

Selepas mengesahkan tempat ke suku akhir, Malaysia perlu membuat persiapan kerana akan berdepan mana-mana pasukan menerusi undian yang akan dibuat esok. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI