fbpx

Fungsi Jakim beza dengan Kementerian Perpaduan Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im

PETALING JAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Kementerian Perpaduan Negara misinya adalah untuk meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat.

“Misi Jakim pula adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail bahawa Kementerian Perpaduan Negara berhak mendapat peruntukan sama atau lebih besar daripada yang diberikan kepada Jakim.

Mohd. Na’im berkata, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan pada tahun ini bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dan ia melibatkan kesemua agensi termasuk Jakim, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan lain-lain.

“Ini adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya

Beliau berkata, Jakim telah diperuntukkan sejumlah RM730 juta kepada guru KAFA, guru takmir dan imam yang dilantik di seluruh Malaysia yang berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.

“Bagi pengoperasian semasa Jakim pula, sebanyak RM249 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.

“Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz,” jelasnya.

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim dalam memperkukuh peranan sekolah tersebut bagi melahirkan generasi al-falah.

“Selain itu, sejumlah RM50 juta juga diperuntukkan untuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 orang terdiri daripada guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut yang bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.

“Bagi lain-lain agensi di bawah Sektor Kemajuan Islam dan Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula sebanyak RM374 juta diperuntukkan bagi memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.

“Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan. Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia,” katanya.

Peruntukan yang diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bermatlamat untuk membangun Malaysia Madani yang menjulang tinggi nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi yang akhirnya memberikan manfaat kepada negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI