Perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini merupakan satu daripada elemen penting yang menjamin keamanan serta kestabilan Malaysia.
Bagaimanapun, terdapat beberapa aspek yang menjadi penghalang kepada perpaduan antara kaum, sekali gus menjadikan kesepakatan total dimahukan para pemimpin negara serta rakyat secara umumnya sebagai satu ilusi.
Mengulas tentang isu tersebut, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, sebagai contoh, cabaran terhadap seruan untuk perpaduan rakyat bagi etnik bukan Melayu seperti kaum Cina ialah keengganan mereka untuk berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu walaupun sudah dipersetujui pada Perjanjian Etnik 1955.
Beliau menjelaskan, ia dapat dilihat pada kelakuan mereka yang sering kali tidak mahu beridentifikasi pada tahap bebas lagi bermakna dengan etnik Melayu selaku penduduk asal, selain kelompok majoriti dan dominan di negara ini.
“Antaranya, termasuk keengganan mereka mempelajari bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara untuk tujuan integratif, iaitu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu, kalau tidak pun komuniti etnik Melayu.
“Sehubungan ini, mereka rata-ratanya mempelajari bahasa Melayu atas dorongan instrumental sahaja, iaitu untuk memenuhi syarat wajib lulus bagi memperoleh sijil sesuatu peperiksaan awam itu.
“Sudah tentu pembelajaran atas dorongan integratif itu baik sekali untuk menyahut seruan bagi perpaduan negara. Bagaimanapun, ia tidak berlaku walaupun sudah 67 tahun kita menubuhkan negara ini,” katanya baru-baru ini.
Katanya, dengan sikap negatif itu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan tidak dapat dimanfaatkan langsung, apatah lagi sepenuhnya.
Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr A. Aziz Azizam pula berkata, ia bukanlah satu masalah sekiranya kaum-kaum di negara ini mengukuhkan bahasa Melayu sebagai instrumen untuk menyemai perpaduan antara kaum.
Katanya, daripada aspek komunikasi dan politik, pelarasan penggunaan satu bahasa penting membentuk identiti bangsa dan jenama Malaysia yang kukuh.
“Setiap negara mempunyai bahasa utama. Bahasa ini diangkat melalui sejarah serta berdasarkan komposisi masyarakat dominan tanpa membelakangkan bahasa lain.
“Dengan mengukuhkan fungsi bahasa Melayu di negara ini, ia bakal memberikan kesan positif dalam banyak hal, terutama berkenaan melancarkan lagi pengurusan kerajaan dan kehidupan masyarakat lebih teratur,” katanya.
Ujarnya, penggunaan dan pengukuhan bahasa Melayu juga turut meningkatkan kecekapan komunikasi kerajaan dalam menyampaikan maklumat, kejelasan undang-undang dan penyediaan perkhidmatan kepada rakyat dengan menyumbang kepada pentadbiran yang berkesan serta responsif.
“Kerajaan perlu mengambil peranan yang lebih komited dalam perihal ini dengan menonjolkan usaha-usaha yang lebih jelas ke arah pemantapan bahasa Melayu,” ujarnya.
















