fbpx

Bekas kakitangan MPS didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang bekas pembantu am Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan memperdaya seorang pengerusi pertubuhan sebuah rumah kebajikan warga emas termasuk sumbangan majlis raya, dua tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Murugan Muniyandi, 43, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani penjara keseluruhan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Murugan yang kini bekerja sebagai seorang kelindan lori didakwa memperdaya pengerusi rumah kebajikan itu untuk menyerahkan wang RM2,300 bagi membantu mendapatkan barangan lelongan MPS.

Lelaki itu juga memperdayakan mangsa sama sebanyak RM200 untuk digunakan sebagai sumbangan untuk majlis hari raya anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Perbuatan itu masing-masing dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur serta sebuah restoran di Taman Selayang Segar, Gombak pada 4 dan 10 April 2022.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Peguam Komagan Kanan mewakili tertuduh semasa mitigasinya memaklumkan anak guamnya itu mempunyai penyakit kencing manis kronik dengan jari kaki kanannya mengalami luka dan perlu dibedah.

“Anak guam juga perlu menjalani pemeriksaan darah hari ini bagi mengenal pasti sama ada mengalami masalah buah pinggang.

“Pendapatan bulanan anak guam pun kini hanya RM1,500. Jadi, mohon hukuman diringankan,” katanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shahruzaman bagaimanapun menegaskan rasuah adalah kesalahan serius dan mohon hukuman yang setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI