fbpx

Panglima ATM, KPN dahului penerima darjah kebesaran Sultan Mizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Mizan (kanan) mengurniakan darjah kebesaran S.S.M.Z kepada Razarudin pada majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran bintang di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seramai 104 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan bintang berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut yang berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad Ab. Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd. Rasid.

Mereka dikurnia Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Tengku Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P. M.T) yang membawa gelaran Datuk pula dikurnia kepada 25 individu.

Antara penerima ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif; Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Abdul Muie Ngah dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.M.Z) kepada 21 individu.

Antara penerima ialah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad @ Che Muhamad Azmi Ngah; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar; Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman dan Pengawai Turus Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI