fbpx

Pejabat PM tegaskan Akta 750 masih terpakai di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) masih terpakai di seluruh Malaysia, termasuk di Terengganu meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan usul menolak akta itu, baru-baru ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, akta yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai itu, hanya terbatal jika ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

“Ingin ditegaskan, adalah menjadi pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Tujuan Akta 750 ini digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan Malaysia serta bagi menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah.

“Penggubalan Akta 750 juga adalah bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS),” kata kenyataan itu, hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini memaklumkan, sidang DUN Terengganu menolak Akta 750 kerana ia membataskan hak negeri itu menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) daripada garis air surut wilayah Terengganu.

Beliau dipetik berkata, DUN Terengganu meluluskan usul menolak akta tersebut kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sama turut menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan termasuk perairan Malaysia sentiasa dilindungi.

“Selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani, sekali lagi dinyatakan bahawa, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI